Kaji proses sebelum guna teknologi

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - NUR ADILAH MAHBOB adilaham@sph.com.sg

SYARIKAT kecil dan sederhana (SME) sewajarnya mengkaji proses mereka dulu sebelum menggunakan teknologi untuk mempertingkatkannya.

Langkah itu disarankan Pengarah Centre of Innovation for Supply Chain Management (COI-SCM) Politeknik Republic (RP), Encik Dennis Quek, dalam seminar mengenai teknologi semalam.

“Kami tidak menentang teknologi tetapi kami perlu melihat proses dulu sebelum memikirkan tentang teknologi sesuai,” ujarnya.

Apa yang perlu dielakkan ialah perbelanjaan yang banyak bagi teknologi baru tetapi akhirnya membazir kerana tidak berkesan membantu perniagaan memperbaiki proses mereka.

Encik Quek berkata demikian dalam acara Dakap Teknologi – Seminar Ekonomi Baru di RP anjuran akhbar Berita Harian (BH) dengan sokongan Majlis Ekonomi Masa Depan (FEC).

Seramai 60 orang menghadiri seminar itu untuk mempelajari lebih lanjut tentang cara memanfaatkan teknologi baru demi memudahkan perniagaan.

Menyasarkan golongan SME, seminar itu berlangsung di COI-SCM.

Pusat inovasi itu turut memaparkan contoh dan tunjuk cara pelbagai huraian teknologi.

Ini termasuk alat bijak mengira bekalan di kedai, penggunaan robot atau ‘co-bot’ (robot kolaboratif) dan automasi proses robotik (RPA).

“Kita harus melihat teknologi sebagai perkara yang membantu kita, bukan sebagai benda yang menghilangkan pekerjaan,” ujar Encik Quek.

Selain itu, peserta mendengar taklimat mengenai Pengenalan Program Go Digital yang boleh dimanfaatkan bagi melengkapi perniagaan dengan teknologi menembusi ekonomi digital.

Seminar juga menampilkan tiga penceramah yang mengongi pengalaman – pemilik Jaggi’s Northern Indian Cuisine Restaurant, Encik Gurcharan Singh; pemilik kafe Tash Tish Tosh, Encik Wahid Spyke Allapitchay; dan pemilik Ignite Incorporation, Encik Jamuri Busori.

Encik Singh menceritakan pengalamannya menubuhkan gerai makanan India Utara yang kecil pada awal 1990-an hingga menjadi restoran dengan tiga cawangan.

Tahun ini, restoran utama Jaggi’s di Race Course Road menjalani kerja ubah suai dan memulakan operasi digital – daripada proses tempahan kepada perakaunan.

Encik Wahid pula mengongsi cabaran yang dihadapi restorannya, termasuk pembaziran masa daripada segi proses tempahan serta perakaunan kewangan yang memakan banyak masa.

Namun, penggunaan pelbagai huraian teknologi telah membantunya mengatasi cabaran.

“Akhirnya, kami dapat memberi khidmat lebih baik kepada pelanggan. Saya boleh berada di luar negara dan mendapat tahu apa yang berlaku dalam restoran kerana banyak yang boleh saya lakukan menerusi telefon bijak sahaja,” ujarnya.

Encik Jamuri pula mengongsi bagaimana penggunaan teknologi bukan sahaja meningkatkan daya penghasilan, malah memberi hasil jualan yang lebih baik.

Awal sebelum itu, peserta menyertai dialog lebih sejam bersama Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

“Akhirnya, kami dapat memberi khidmat lebih baik kepada pelanggan. Saya boleh berada di luar negara dan mendapat tahu apa yang berlaku dalam restoran kerana banyak yang boleh saya lakukan menerusi telefon bijak sahaja.” – Pemilik kafe Tash Tish Tosh, Encik Wahid Spyke Allapitchay. “Kita harus melihat teknologi sebagai perkara yang membantu kita, bukan sebagai benda yang menghilangkan pekerjaan.” – Pengarah Centre of Innovation for Supply Chain Management (COI-SCM) Politeknik Republic (RP), Encik Dennis Quek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.