Program nuklear: Pompeo bakal temu pegawai kanan Korea Utara di NY

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Mike Pompeo, berkata kelmarin beliau akan bertemu minggu ini di New York pegawai nombor dua Korea Utara untuk membincangkan penghapusan nuklear dan kemungkinan mengadakan sidang kedua antara Presiden Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un.

“Saya menjangkakan kami akan mencapai kemajuan nyata, termasuk usaha memastikan sidang puncak antara dua pemimpin kami boleh berlaku di mana kami boleh membuat langkah penting ke arah penghapusan nuklear,” ujar Encik Pompeo dalam rancangan Face of the Nation stesen CBS.

Pertemuan Encik Pompeo dengan Encik Kim Yong Chol minggu ini datang selepas dua pihak itu bertelagah hampir lima bulan selepas sidang puncak bersejarah Jun lalu antara Encik Trump dan Encik Kim di Singapura di mana mereka berjanji akan berusaha ke arah penghapusan nuklear di semenanjung Korea.

Kementerian luar Korea Utara memberi amaran awal awal minggu lalu bahawa Pyongyang akan “secara serius” menimbangkan menghidupkan program senjata nuklearnya kecuali sekatan Amerika ditarik balik.Encik Pompeo menolak kenyataan itu, dengan memberitahu Fox News Sunday:

“Saya tidak bimbang tentang perkara itu.

“Kami sangat fokus. Kami tahu dengan siapa kami sedang berunding, kami tahu pendirian mereka (dan) Presiden Trump telah menyatakan pendiriannya dengan sangat jelas.”

Beliau menambah bahawa “tidak akan ada bantuan ekonomi sehingga kita mencapai matlamat terakhir kita”.

Berita mengenai pertemuan itu dan kemungkinan sidang puncak diadakan, juga datang hanya dua hari sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika, yang dilihat sebagai referendum terhadap Encik Trump.

Presiden itu sering menunjukkan pengenduran ketegangan dengan Korea Utara – yang tegang semasa peringkat awal Encik Trump sebagai presiden – sebagai pencapaian dasar luar negaranya yang besar.

Encik Pompeo menegaskan dalam dua penampilan televisyen bahawa tiada ujian peluru berpandu atau nuklear sejak sidang puncak di Singapura dan sisa mayat askar Amerika yang terbunuh semasa Perang Korea telah dikembalikan.

“Kami mencapai kejayaan dalam masa hanya beberapa bulan sejak Jun lalu dan kami terus membuat kemajuan baik. Saya yakin kami akan mencapai kemajuan lagi minggu ini apabila saya berada di New York City,” katanya pada CBS.

Encik Kim Yong Chol, rakan sejawat Encik Pompeo dalam perbincangan itu, seorang jeneral, bekas ketua perisikan tertinggi dan orang kanan pemimpin Korea Utara.

Beliau melawat Rumah Putih menjelang sidang puncak di Singapura dan menjadi pengantara utama Encik Pompeo sejak beberapa bulan lalu. – AFP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.