Biografi ESM Goh kisahkan peralihan politik pertama S’pura

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - NUR ADILAH MAHBOB adilaham@sph.com.sg

MENTERI Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong, yang juga mantan Perdana Menteri, semalam melancarkan biografi pertamanya yang mengisahkan peralihan politik pertama Singapura.

Majlis pelancaran jilid pertama buku itu, yang berlangsung di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, dihadiri Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Buku itu bertajuk Tall Order: The Goh Chok Tong Story (Tugas Mustahil: Kisah Goh Chok Tong), dan ditulis mantan editor berita The Straits Times, Encik Peh Shing Huei.

Berucap di pelancaran semalam, Encik Goh, 77 tahun, berkata selok-belok penggantian politik ‘kurang dihargai dan diambil mudah’.

“Kita kini berada di tengah-tengah satu lagi peralihan politik generasi.

“Ia memerlukan persediaan teliti dan ujian dalam semua aspek – dalam dasar dan politik, dalam mengambil keputusan yang sukar, dalam mempertandingkan dan memenangi pilihan raya, dalam menambat hati dan minda rakyat, dalam memupuk hubungan baik dengan pemimpin negara lain, serta dalam hubungan sebagai satu pasukan,” ujar Encik Goh.

Buku itu turut menyentuh tentang apa yang disifatkan Encik Goh sebagai ciri-ciri penting yang diperlukan dalam pemimpin politik – perwatakan, motivasi, dedikasi dan sikap bertanggungjawab.

Dalam ucapannya lagi, Encik Goh menyifatkan dirinya sebagai bukan seseorang yang dilahirkan sebagai ahli politik, tetapi berasa beruntung dibimbing pemimpin pengasas seperti Encik Lee Kuan Yew, Dr Goh Keng Swee, Encik S Rajaratnam, Encik Hon Sui Sen dan Encik Lim Kim San.

“Buku saya menekankan aspek penting bimbingan politik, serta latihan dan pengalaman untuk mentadbir negara.

“Saya berharap kisah ini akan menggalakkan ‘teknokrat’ – gelaran yang pernah diberikan kepada saya dan rakan kerja saya – dalam generasi sekarang dan masa depan untuk berkhidmat kepada negara mereka,” ujarnya.

Encik Goh berkata dari awal lagi sebelum beliau menjadi Perdana Menteri beliau sudah membuat keputusan tidak mahu menulis memoir kerana akur ia akan bersikap berat sebelah jika ia ditulis dari pandangan beliau sendiri.

Mentelah, tidak seperti zaman Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, terdapat banyak nota daripada mesyuarat rasmi Encik Goh.

Namun, Encik Lee Kuan Yew telah menggalakkannya untuk menulis kisah sambungan kepada ‘Kisah Singapura’ – buku memoir Encik Lee.

Dalam buku ‘Kisah Singapura’ Encik Lee yang dihadiahkan kepada Encik Goh itu, Encik Lee telah menulis: “Dengan harapan generasi warga Singapura tidak lagi perlu melalui pengajaran ini.”

Buku itu ditandatangani pada 15 September 1998, sehari sebelum ulang tahun Encik Lee yang ke-75.

“Setelah saya mencapai usia 75 tahun, saya semakin sedar hakikat tentang kematian, dan pentingya mesej itu,” kata Encik Goh.

Beliau akhirnya setuju dengan saranan pemimpin akar umbinya untuk mendapatkan seseorang untuk menulis buku tersebut.

Diterbitkan World Scientific, biografi itu merakam kehidupan Encik Goh, dari kelahirannya pada 1941 sehingga November 1990, apabila beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya gembira dengan produknya. Maklum balas pembaca positif. Akan ada jilid dua,” ujar Encik Goh.

Buku itu akan dilancarkan secara berasingan pada 21 November nanti untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak kurang upaya, serta pelajar kurang bernasib baik yang mempunyai gred lemah.

Buku tersebut akan dijual di kedai buku utama termasuk Kinokuniya, Times the Bookstore, MPH dan Popular.

Harganya ialah $56 bagi kulit keras dan $37 bagi kulit lembut.

DAHULU DAN SEKARANG: Pemimpin dahulu dan sekarang merupakan antara mereka yang menghadiri pelancaran biografi Encik Goh (dua dari kanan) semalam. Antara yang hadir ialah Perdana Menteri Lee Hsien Loong (dua dari kiri) dan Encik Sidek Saniff (paling kiri). – Foto ZAOBAO

ZAMAN MUDA: Encik Goh (barisan belakang, paling kiri) bersama kelas Standard Lima dari Sekolah Inggeris Pasir Panjang. – Foto WORLD SCIENTIFIC

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.