Dari sekadar jahit kain perca, kini niaga beg buatan sendiri

Berita Harian - - GAH! - NUR DHUHA ESOOF nurdhuha@sph.com.sg

SEMASA mengandungkan anak bongsunya lima tahun lalu, Cik Nurerfani Mohd Khair teringin sangat menjahit, sedangkan beliau sudah berbelas tahun tidak memegang mesin jahit.

Menggunakan jarum dan benang, beliau menjahit kain perca di rumah menjadi sarung bantal secara ala kadar sahaja tanpa menggunakan pembaris dan tanpa melakukan menjahit tepi.

Selepas berpindah ke rumah sendiri tidak lama selepas itu, barulah beliau membeli mesin jahit dan mula belajar menjahit beg.

Kini, ibu tiga anak berusia 33 tahun itu merupakan ibu usahawan dengan jenama beg buatan tangan Sew & So.

“Dulu masa di sekolah menengah, adalah saya belajar menjahit tapi secara suka-suka sahaja. Selepas ada mesin jahit sendiri, saya mula cari kelas menjahit.

“Saya memang nak belajar jahit baju tapi kelas pertama yang saya pergi mengajar tentang cara menjahit beg dan saya dapati ia menarik. Saya kemudian membaca buku menjahit dan menonton video di YouTube untuk meluaskan lagi kemahiran saya,” kata Cik Nurerfani yang menyertai kelas yang dianjurkan di rumah guru berharga antara $50 hingga $100.

Sebelum mengendalikan Sew & So secara sepenuh masa, Cik Nurerfani bekerja sepenuh masa dalam bahagian logistik.

Namun melihat tempahan yang meningkat dan kesukaran mengimbangi masa antara pekerjaan, perniagaan dan keluarga, beliau memutuskan berhenti kerja.

Beliau kini menawarkan khidmat menjahit beg mengikut tempahan dan citarasa pelanggan selain menjual beg pelbagai saiz dan bentuk yang dijahitnya di dalam talian atau di gerai di acara ‘pop-up’.

Menyedari keupayaannya terhad apabila mengendalikan perniagaan itu sendiri tanpa bimbingan mereka yang lebih berpengalaman, Cik Nurerfani menyertai perusahaan sosial Enterprising Mums United (EMU) tahun lalu.

EMU sebuah firma rundingan pengurusan dan perniagaan yang menyediakan wadah runcit ‘pop-up’ bagi mendorong keusahawanan mampan di kalangan ibu usahawan yang mengendalikan perniagaan mereka secara dalam talian atau dari rumah bagi mengurangkan kos operasi.

Ia kini mempunyai hampir 20 ibu usahawan dengan ada di kalangan mereka yang bekerja sepenuh masa, ada merupakan ibu tunggal dan ada yang tidak bekerja.

Antara lain, EMU telah mengajak Cik Nurerfani membuka gerai di acara yang disertainya seperti baru-baru ini di Wisma Geylang Serai sempena acara Singapura Bersih & Hijau 2018.

EMU, sebagai antara penaja acara tersebut, telah menganjurkan lima bengkel dan dua kegiatan sampingan di bawah inisiatif UP(cycling) Assembly yang menggalak orang ramai mengurangkan sampah dengan mengubah bahan yang tidak lagi dimahukan menjadi produk berguna dan kreatif.

Cik Nurerfani diajak menyertai acara tersebut dan berpeluang membuka gerai selama tiga hari dari Sabtu hingga Isnin lalu.

Beliau juga berpeluang mengendalikan bengkel membuat batu serembat serta butang magnet menggunakan perca kain buat pelajar dan orang awam yang hadir di acara itu.

Selain meraih peluang mendekati lebih ramai pelanggan berbanding jika beliau sekadar memasarkan produk di dalam talian, Cik Nurerfani berkata beliau juga belajar cara berinteraksi dengan pelanggan dan meletakkan harga yang berpatutan pada barangannya.

“Dulu saya cuma jahit beg, ambil gambarnya dan letak di dalam talian. Selepas bersama EMU, saya kini tahu menarik perhatian pelanggan ke barangan saya.

“Saya belajar tentang peranan bungkusan serta cara meletakkan harga yang sesuai bagi produk saya.

“Saya juga lebih mahir dalam memberi perkhidmatan yang baik supaya pelanggan akan berulang membeli barangan daripada saya,” kata Cik Nurerfani yang berharap dapat membuka butik beg buatan tangannya sendiri kelak.

LEBIH MAHIR BERNIAGA: Cik Nurerfani Mohd Khair belajar cara mendekati pelanggan dan meletakkan harga berpatutan pada beg jahitan tangannya daripada perusahaan sosial Enterprising Mums United (EMU). – Foto BH oleh NUR DHUHA ESOOF

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.