Amrin, 650 kanak-kanak senam bersama lancar video ‘Korang OK?’

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - ERVINA MOHD JAMIL ervinamj@sph.com.sg

MENARI dan bersenam sambil belajar tentang kebersihan, menjaga kesihatan dan makanan sihat – itulah yang boleh dilakukan dengan menonton video muzik yang dilancarkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) semalam.

Video itu merupakan yang keenam dalam siri video muzik HPB yang disasarkan kepada kanak-kanak dan bertujuan menggalak mereka mengamalkan gaya hidup sihat. Siri itu menampilkan pelbagai video dalam bahasa berbeza.

Sempena pelancaran video bertajuk Korang OK? dalam acara di Jurong Town Hall itu, lebih 650 kanak-kanak dari 16 prasekolah menari dan bersenam beramai-ramai mengikut rentak muzik video itu.

Mereka disertai Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, yang ikut menari.

Sebelum ini, muzik dan istilah Korang OK? daripada video itu pernah digunakan di wadah lain.

Hasil maklum balas menggalakkan, Encik Amrin berkata usaha tersebut kini diperluas dan digunakan dalam video muzik yang disasarkan kepada kanak-kanak juga.

“Kami mendapat banyak maklum balas positif daripada ibu bapa apabila kami memperkenal lagu Korang OK? itu sebelum ini. Menurut mereka, anak pun ikut nyanyi.

“Jadi kami menggunakannya dan menghasilkan video seronok yang boleh ditonton kanak-kanak dan mereka boleh meniru gerak langkahnya,” ujarnya.

Beliau juga gembira Korang Ok? dapat diperkenal kepada Singapura agar kanak-kanak tidak kira bangsa dapat menikmatinya.

Video muzik Korang OK? akan diajarkan kepada kanak-kanak di prasekolah.

Usaha itu juga sebahagian sumber kegiatan jasmani oleh HPB untuk membantu prasekolah memenuhi keperluan kegiatan jasmani holistik harian di bawah rangka kerja Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Sejak 1 Januari lalu, ECDA memerlukan prasekolah dengan program satu hari penuh mengadakan kegiatan jasmani sekurang-kurangnya sejam setiap hari.

Ibu bapa boleh menonton siri video HPB itu menerusi laman HealthHub HPB atau YouTube.

Di bawah Rangka Kerja Prasekolah Sihat yang diperkenal pada 2015, sekitar 60 peratus prasekolah atau 1,075 prasekolah di sini telah diiktiraf sebagai Prasekolah Sihat.

Encik Amrin berkata usaha berterusan kini dijalankan untuk menggalak lebih banyak prasekolah berusaha mendapatkan pengiktirafan itu.

“Kita bukan saja hendak mengajar kanak-kanak ini bagaimana menulis dan membaca, malah kemahiran hidup... erti mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Selain program senaman, prasekolah mengajar kanak-kanak tentang makanan sihat.

“Kita bermula dari usia muda, jadi mereka dapat membentuk tabiat baik dan menjadikannya sebahagian gaya hidup apabila meningkat dewasa,” katanya.

Menurut pengetua Iman Kindergarten and Childcare di Blok 934 Yishun Central 1, Cik Nurulhuda Hamidi, prasekolahnya menghidangkan makanan sihat termasuk produk bijirin penuh dan oat dan mengadakan pelbagai kegiatan senaman.

Meskipun pada mulanya kanak-kanak sukar menerima makanan bijirin penuh dan oat itu, Cik Nurulhuda berkata mereka kini lebih mudah menerima hasil dorongan berterusan dan kerjasama ibu bapa.

Dengan amalan sedemikian, beliau dapat melihat kesan postif dalam kalangan murid.

“Kalau dulu 30 peratus murid kami mempunyai berat badan berlebihan, kini jarang ada yang begitu.

“Mereka sekarang lebih mudah memberi perhatian dalam bilik darjah dan lebih aktif menyertai kegiatan di luar bilik darjah,” ujarnya.

SEMUA OK: Encik Amrin menyertai lebih 650 kanak-kanak prasekolah menari dan bersenam sempena pelancaran video muzik ‘Korang Ok?’ yang disasarkan kepada kanak-kanak. – Foto BH oleh ONG WEE JIN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.