Bekas penerima Anugerah Guru Arif Budiman kongsi ilmu

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - SHAHIDA SARHID sshahida@sph.com.sg

OBJEK 10 saat. Potret Keluarga. “Roller-Coaster” Emosi.

Inilah merupakan antara nama permainan yang boleh ibu bapa manfaatkan untuk mengajak anak-anak mereka bertutur dalam Bahasa Melayu dengan lebih fasih.

Menjelaskan, guru pakar di Pusat Bahasa Melayu Singapura, Encik Muslim Hanafiah berkata cara menarik seperti ini akan menambat perhatian anak-anak selain mengajak mereka bertutur dalam Bahasa Melayu tanpa mereka sedari.

Misalnya bagi permainan Objek 10 Saat, ibu bapa boleh menyuruh anak mereka membentuk badan mereka bak satu objek.

Kemudian ibu bapa boleh meneka apakah objek itu. Anak-anak juga boleh menggunakan kosa kata yang berkaitan dengan objek yang dipilih itu sebagai panduan kepada ibu bapa mereka.

“Seperti contoh, jika anak itu melengkungkan badannya seperti kerusi dan ibu bapa sukar meneka apakah bentuk itu, anak itu kemudian boleh menggunakan perkataan seperti “sandar” atau “duduk” bagi memberi gambaran tentang objek yang mereka pilih,” kongsinya.

Menurutnya, teknik-teknik lakonan ini boleh ibu bapa manfaatkan di rumah.

“Kami berharap dengan cara ini secara tidak langsung, kosa kata anak itu akan dapat diperkukuhkan lagi,” katanya.

Encik Muslim, 52 tahun, merupakan antara beberapa guru yang akan mengongsi ilmu mereka dalam satu sesi khas yang akan dijalankan sebelum bermulanya Majlis Penganugerahan Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) tahun ini.

Penganugerahan itu yang berlangsung hari ini di Orchid Country Club, akan bermula dengan tiga sesi khas, yang dijalankan secara serentak khas buat ibu bapa, pelajar dan pendidik pra sekolah.

Selama sejam, undangan akan meraih pengetahuan tentang pelbagai panduan berkaitan bahasa dan budaya Melayu.

Panel penceramah yang akan mengongsi ilmu pula bukan calang-calang.

Mereka semua merupakan bekas penerima Agab.

Encik Muslim, penerima Agab 2012 adalah antara tiga penceramah yang akan mengongsi panduan bagi sesi Yok, Berdrama!

Sesi tersebut bertujuan memupuk keyakinan bertutur dan menerapkan nilai dalam diri anak-anak.

Selain sesi tersebut, ada juga sesi berjudul BM Bagus!, yang ditujukan khas buat pelajar Program Elektif Bahasa Melayu untuk Sekolah Menengah (Emas) dan Program Pilihan Bahasa Melayu (MLEP) di maktab-maktab rendah.

Sesi tersebut bertujuan membincangkan tentang sejauh mana relevannya Bahasa Melayu dalam era globalisasi yang didominasi bahasa Inggeris.

Satu lagi sesi diadakan khas buat golongan pendidik prasekolah yang berjudul Bijak Berkata-Kata, Santun Berbahasa, yang bertujuan mengongsi panduan bagaimana membimbing kanak-kanak prasekolah bertutur dengan yakin.

Ini merupakan kali pertama Agab mengadakan sesi demikian sebelum bermulanya majlis penganugerahan.

“Seperti contoh, jika anak itu melengkungkan badannya seperti kerusi dan ibu bapa sukar meneka apakah bentuk itu, anak itu kemudian boleh menggunakan perkataan seperti “sandar” atau “duduk” bagi memberi gambaran tentang objek yang mereka pilih. Kami berharap dengan cara ini secara tidak langsung, kosa kata anak itu akan dapat diperkukuhkan lagi.” – Guru pakar di Pusat Bahasa Melayu Singapura, Encik Muslim Hanafiah.

BERMAIN SAMBIL BELAJAR: Bekas penerima Anugerah Guru Arif Budiman, Encik Muslim Hanafiah bakal berkongsi panduan berguna buat ibu bapa dalam satu sesi khas hari ini. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.