Pemergian Bush: Presiden Halimah, pemimpin kanan utus surat takziah

Berita Harian - - BERITA -

PRESIDEN Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong menulis surat kepada Encik George W. Bush, presiden ke-43 Amerika Syarikat, bagi menyampaikan takziah atas pemergian bapanya, mendiang George H. W. Bush. Mendiang presiden Amerika ke-41.

“Bagi pihak rakyat Singapura, saya mengucapkan takziah kepada anda dan keluarga atas pemergian bapa tercinta,” ujar Puan Halimah, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) semalam.

Puan Halimah berkata khidmat setia Encik Bush kepada negaranya akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang, lapor akhbar The Straits Times.

“Sebagai presiden Amerika pertama yang membuat lawatan rasmi ke Singapura pada Januari 1992, beliau meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan terhadap hubungan dua hala negara kami.

“Kerjasama rapat dan lama bertahan antara Singapura dengan Amerika hari ini bukti kepimpinannya,” kata Puan Halimah.

Dalam suratnya, Encik Lee berkata “Presiden Bush mewakili sifat terbaik Generasi Utama”.

Beliau berkata presiden Amerika itu, yang menyandang jawatan tersebut dari 1989 hingga 1993, memaparkan sifat keberanian, kesetiaan, belas kasihan dan rendah hati sepanjang khidmat awam berdekad lamanya dan menerusi pelbagai jawatan cemerlang yang disandang.

“Beliau akan diingati bagi tugas kenegarawanan dalam membawa pengakhiran aman kepada Perang Dingin dan mengukuhkan kepimpinan Amerika di dunia.

“Apabila Saddam Hussein menyerang Kuwait pada 1990, pakatan antarabangsa dibentuk di bawah kepimpinan Presiden Bush, yang berjaya mengundurkan serangan Iraq dan menjadikan dunia lebih selamat.

“Malah, dalam persaraannya, Presiden Bush meneruskan khidmat unggul dan memperjuang sebab kemanusiaan dalam bahagian dunia yang membangun,” tulis Encik Lee.

Dalam suratnya pula, Encik Goh berkata beliau rasa bertuah sebagai perdana menteri dapat menyambut kedatangan Encik Bush ke Singapura pada 1992.

“Lawatannya peristiwa penting dalam hubungan dua hala antara Singapura dengan Amerika, dan dalam memperdalami persahabatan antara dua negara kami.

“Memorandum Persefahaman 1990 yang menyokong hubungan pertahanan kami hari ini juga ditandatangani semasa beliau memegang jawatan presiden.

“Singapura menghargai kepimpinan dan usahanya dalam membantu menamatkan Perang Dingin secara aman, membawa satu era kestabilan dan kemakmuran baru,” tulis Encik Goh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.