Warga Singapura dipelawa beri saranan bagi Belanjawan 2019

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) dan unit maklum balas pemerintah, Reach, mempelawa warga Singapura memberi pandangan dan saranan menjelang persiapan Belanjawan 2019.

Belanjawan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Februari tahun depan.

Menjelaskan lebih lanjut, MOF berkata dalam kenyataannya:

“Individu, keluarga dan perniagaan dialu-alukan memberi maklum balas mengenai topik seperti bagaimana perniagaan kita boleh menjadi lebih inovatif dan berdaya saing, bagaimana rakyat boleh memainkan peranan bagi memperkukuh daya ketahanan masyarakat serta bagaimana kita boleh terus menjaga dan menyokong satu sama lain.”

Mulai semalam, orang ramai boleh memberikan pandangan mereka di laman mikro Reach Belanjawan 2019, www.reach. gov. sg/budget2019.

Mereka boleh berbuat demikian sehingga 11 Januari.

Selama tempoh enam minggu itu, Reach akan menubuhkan enam Sudut Mendengar di serata Singapura – termasuk di Our Tampines Hub, Sun Plaza dan Politeknik Ngee Ann – bagi mengumpul maklum balas warga Singapura secara peribadi.

Maklumat lebih terperinci mengenai tarikh dan lokasi sudut tersebut boleh didapati di laman web Reach.

Sementara itu, satu dialog pra-Belanjawan 2019 bersama masyarakat awam akan diadakan pada Khamis ini.

Ia akan dihoskan oleh Cik Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan dan Pendidikan, manakala Pengerusi Reach yang juga Menteri Negara (Sosial dan Pembangunan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Sam Tan, akan menjadi hos bersama dalam dialog tersebut.

Menurut MOF, orang ramai boleh memberi maklum balas mereka menerusi saluran media sosial Reach, e-mel, talian hotline dan SMS. MOF berkata maklum balas orang ramai diminta bagi lima tema utama.

Kelima-limanya ialah penuaan dan jagaan kesihatan; sokongan untuk keluarga; inovasi; keselamatan dan hubungan luar serta filantrofi dan kesukarelawanan.

Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, berkata dalam kenyataan itu:

“Dalam tahun menyambut ulang tahun Singapura yang ke-200, Belanjawan 2019 memberi kita peluang menyemak semula kemajuan Singapura dan menetapkan rancangan kolektif kita bagi masa depan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.