Usaha digital SPH buahkan hasil, akan terus kembangkan portfolio

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - ATIYYAH MOHD SAID [email protected]

USAHA digital Singapore Press Holdings (SPH) Ltd dalam perniagaan media telah membuahkan hasil dan ia akan terus melabur dan mengembangkan portfolio digitalnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH, Encik Ng Yat Chung.

Secara keseluruhan, jumlah edaran akhbar edisi cetakan dan digital meningkat 4 peratus kepada purata 964,400 salinan setiap hari pada tahun kewangan 2018 yang berakhir Ogos lalu, berbanding tahun kewangan lalu.

Ini didorong oleh pertumbuhan kukuh bagi edaran edisi digital sebanyak 37 peratus kepada 391,200 salinan.

Bercakap kepada 438 pemegang saham yang hadir di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di auditorium SPH semalam, Encik Ng berkata perniagaan media telah menunjukkan prestasi sederhana dengan permintaan untuk produk berita terus meningkat

Walaupun edaran akhbar edisi cetakan susut disebabkan tabiat penggunaan pembaca yang berubah dengan lebih ramai menggunakan alat bimbit, namun edaran edisi digital semakin baik.

“Memandang ke hadapan, kita boleh menjangkakan edaran edisi cetakan tidak meningkat, tetapi kami harap dapat menyekat kemerosotannya.

“Namun, apa yang menggalakkan ialah edaran edisi digital bertambah baik,” ujar Encik Ng.

Beliau turut memberi contoh bahawa akhbar cetakan terbitan SPH seperti Berita Harian (BH) telah bergerak ke arah tumpuan digital, merancang aliran kerja dan kandungan yang berpusat kepada pembaca digital.

Pendapatan digital kini membentuk 15 peratus daripada pendapatan media – dengan pendapatan digital meningkat daripada $91.1 juta pada tahun kewangan 2017 kepada $103 juta pada tahun kewangan 2018.

Pengerusi SPH, Dr Lee Boon Yang, pula memberi jaminan bahawa kumpulan media itu tidak akan terus berpuas hati dengan hasil usaha portfolio digitalnya dan akan terus mencari cara memberi “pulangan dividen yang boleh berkekalan bergantung kepada tahap kesihatan bidang perniagaan yang diceburi”.

Dalam pada itu, beberapa saranan telah dikemukakan oleh para pemegang saham agar SPH memanfaatkan sepenuhnya kedudukannya sebagai sebuah kumpulan media yang dipercayai di tengah-tengah penularan berita palsu.

Menyambut baik cadangan itu, Encik Ng berkata:

“Ia tentunya kedudukan pasaran yang kami manfaatkan, misalnya bagi akhbar The Straits Times, para wartawan akan melaporkan sesuatu dengan menyemak fakta terdahulu.

“Justeru, kami sedang meneroka bagaimana manfaatkannya dengan menyertakan liputan di rantau Asia Tenggara yang akan menarik pembaca.”

Terdapat juga soalan berhubung pelaburan SPH dalam projek penginapan pelajar di United Kingdom.

SPH – yang juga memiliki perniagaan dalam sektor hartanah dan jagaan warga tua – telah membeli 14 bangunan penginapan pelajar di enam bandar di United Kingdom pada harga $321 juta.

Menjawab keprihatinan mereka, Encik Ng berkata salah satu tumpuan SPH dalam membuat pelaburan baru adalah memastikan ia satu sektor yang bersifat defensif.

“United Kingdom adalah hab pendidikan antarabangsa yang menarik kerana adanya institusi bermutu, jadi permintaan akan terus ada.

“Ia juga sektor yang dipercayai akan terus dimajukan kerajaannya apatah lagi dengan Brexit nanti,” terangnya.

SPH telah mengusulkan dividen akhir sebanyak 7 sen sesaham.

TERUS KUKUH: (Dari kiri) Peguam Am yang juga Naib Presiden Eksekutif Perhubungan Korporat & CSR SPH, Cik Ginney Lim; Pengerusi SPH, Dr Lee Boon Yang; CEO SPH, Encik Ng Yat Chung; dan Pengarah Lembaga SPH, Encik Quek See Tiat, semasa di AGM SPH semalam. – Foto BH oleh KUA CHEE SIONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.