Shaheizy, Zizan enggan distereotaip wira komedi

Berita Harian - - GAH! -

RASA khuatir dilabel sebagai pelakon komedi selepas kejayaan filem Adnan Semp-it hampir sedekad lalu membelenggu fikiran pelakon serba boleh, Shaheizy Sam Abdul Samad.

Pengacara dan pelakon Zizan Razak pula enggan selama-lamanya dianggap hanya menyerlah sebagai pelawak.

Justeru, penglibatan mereka sebagai wira gandingan dalam francais filem Polis Evo disifatkan sebagai wadah yang menekankan betapa bakat mereka lebih daripada setakat bersenda sehingga membuat orang pecah perut tertawa.

Shaheizy, 36 tahun, yang menjayakan watak pegawai bernama Khai dalam Polis Evo ditemui Gah! di Cathay Platinum Suite, bagi sesi wawancara media Singapura, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan:

“Orang lihat kebolehan saya berlawak dalam Adnan Semp-it. Mereka suka dan mahu melihat saya muncul lagi sebagai watak serupa. Namun, dalam hati, saya bimbang akan hanya diberi watak hero lucu sebegini sedangkan saya tahu kemahiran saya lebih daripada watak sebegitu.

“Maka, dengan adanya Polis Evo dan Polis Evo 2, ia memberi saya ruang meneroka sisi saya yang berbeza, 100 peratus wira aksi yang serius dan dibebani ujian fizikal dan pasang surut emosi. Saya selesa dengan watak hero aksi tetapi dalam sudut hati pun nak juga watak antagonis yang lebih mencabar teknik lakonan saya.”

Mengulas tentang wataknya sebagai Inspektor Sani dalam Polis Evo 2, Zizan, yang nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 34 tahun, pula berkata:

“Inilah masalahnya dengan penonton dan juga stereotaip mereka. Mereka kenal saya sebagai peserta dan naib juara peraduan lawak realiti, Raja Lawak. Tapi mereka mungkin tak tahu bahawa saya ada latar belakang teater dan boleh bawa watak serius.

“Dalam Polis Evo 2, ujian saya dan Shaheizy berbeza. Inspektor Sani menggunakan strategi minda bagi menumpaskan lawan. Wira aksi yang banyak terdedah pada babak lasak ialah Shaheizy sebagai Khai.

“Namun, saya boleh rasakan kepenatan dalam filem ini terletak pada bagaimana ia memerah minda saya sebagai pelakon. Memanglah babak lasak buat kaki tangan kita lenguh dan badan letih tetapi permainan minda itu sendiri mampu buat kita lebih lelah.

“Saya sendiri fokus dengan babak turun naik emosi yang memerlukan saya menitiskan air mata. Saya cuba pelajari cara membiarkan emosi ini mengalir deras. Pelakon-pelakon hebat yang menang anugerah biasanya kaya emosi.”

Seperti Shaheizy, Zizan juga impikan suatu hari nanti dapat menghidupkan watak antagonis yang sinis persis watak Hafsyam lakonan Hasnul Rahmat dalam Polis Evo 2.

“Bukanlah saya dah penat jadi watak baik dan seronok nak jadi jahat. Saya sebenarnya nak cuba sesuatu yang berbeza. Kalau jadi jahat, cabarannya lain. Pengawalan emosinya juga berkepelbagaian,” tambahnya.

Shaheizy dan Zizan akur selepas digandingkan dalam Polis Evo empat tahun lalu, persahabatan mereka kian akrab di luar set penggambaran. Keserasian yang terpancar di layar perak malah tidak dibuat-buat.

Dalam Polis Evo 2, Inspektor Sani dan Khai ditugaskan menyertai satu misi pengintipan di sebuah pulau terpencil. Suasana yang tenteram bertukar keruh apabila sekumpulan pelampau yang diketuai Hafsyam Jauhari menyerang dan menawan pulau tersebut.

Sani ditahan bersama 200 orang kampung yang dijadikan tebusan manakala Khai pula terperangkap di kawasan kampung.

GANDINGAN SERASI: Shaheizy Sam (kiri) dan Zizan Razak saling melengkapi dalam filem aksi Polis Evo 2 yang menguji ketangkasan fizikal dan mental mereka sekali gus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.