Cara silat diadili, pesta seni semasa kejohanan

Berita Harian - - SUKAN -

SETIAP gerakan dan serangan perlu dirancang dengan teliti dan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada sasaran.

Di dalam gelanggang, kepantasan dan ketangkasan menjadi keutamaan.

Keputusan harus dibuat dengan pantas bagi mengelak dari terkena asakan lawan dan dalam saat itu juga mereka perlu pantas membuat keputusan tentang serangan balas yang akan dilakukan.

Setiap tumbukan atau tendangan yang terkena sasaran memberi pesilat kelebihan mata dan setiap kali mereka berjaya menjatuhkan lawan, mereka akan mendapat mata yang lebih tinggi.

Keputusan perlawanan silat ditentukan lima anggota juri berdasarkan aksi tiga pusingan.

Anggota juri duduk di sekeliling gelanggang; memberi atau memotong mata bagi setiap pesilat.

Mata yang diberikan tertera ‘secara langsung’ di papan mata elektronik semasa perlawanan berlangsung.

PEMARKAHAN DALAM SILAT Kejohanan pencak silat biasanya terbahagi kepada dua kategori, iaitu Tanding dan Seni, dan setiap kategori mempunyai pemarkahan tersendiri.

Bagi aksi tanding, 1 mata akan diberikan kepada pesilat yang berjaya menumbuk lawannya tepat pada pelindung badan yang menjadi sasaran tanpa ditepis lawan.

Manakala itu, jika pesilat berjaya menendang lawan tepat pada sasaran, mereka akan diberikan 2 mata dan setiap kali mereka menjatuhkan lawan, 3 mata berada di genggaman.

1 mata tambahan akan diberikan jika mereka berjaya menangkis serangan lawan lalu menumbuk, menendang mahupun menjatuhkan lawan mereka.

Sementara itu untuk kategori seni, ia dibahagikan kepada tiga bidang iaitu Seni Tunggal, Ganda dan Regu.

Bagi Seni Tunggal, markah akan diberikan berdasarkan ketepatan dan keteguhan gerakan pesilat.

Mata akan diberikan apabila mereka berjaya memaparkan empat unsur berikut; pergerakan, irama pergerakan, menjiwai pergerakan mereka serta daya dan stamina. Mata yang diberikan antara 50 hingga 60 mata.

Kelainan aksi Seni Ganda pula bergantung kepada teknik serangan dan mempertahankan diri yang ditunjukkan kededua pesilat serta cara mereka menggunakan senjata yang mengiringi aksi gerakan mereka.

Dan bagi Seni Regu pula, tiga pesilat yang membuat persembahan perlu memastikan pergerakan mereka seiringan atau ‘synchronise’.

BELAJAR TENTANG PENCAK SILAT Bagi mereka yang ingin mengenali lebih dekat mengenai pencak silat dan mahu mencuba sendiri seni mempertahankan diri ini, beberapa acara sampingan akan diadakan buat para pengunjung sewaktu Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 yang bakal diadakan di OCBC Arena, Hab Sukan Singapura pada 13 hingga 16 Disember ini.

Pengunjung boleh ke Pesta Seni Mempertahankan Diri di Dewan 2, OCBC Arena atau mereka boleh mengikuti bengkel kenali pencak silat dengan bayaran $5.

Bagi mereka yang berminat, maklumat lanjut boleh didapatkan menerusi laman www.wpsc2018.com.

HARUS TEPAT PADA SASARAN: Pesilat perlu memastikan setiap serangan mereka, tidak kira dengan tumbukan atau tendangan, harus tepat pada sasaran iaitu pelindung badan yang dipakai oleh lawan. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.