MOH kumpul saranan kurangi gula daripada minuman manis

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan mendapatkan pandangan dan makum balas orang ramai berkaitan langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan pengambilan gula warga daripada minuman dalam peket dengan gula pemanis.

Sesi memberi maklum balas awam yang bermula semalam hingga 25 Januari itu sebahagian usaha Singapura memerangi penyakit kencing manis.

Dalam kenyataannya, MOH berkata usaha tersebut turut mengambil kira saranan lain berkaitan langkah yang boleh diambil.

Pandangan tersebut termasuk empat langkah yang disarankan terhadap minuman dalam peket.

Antaranya adalah mewajibkan label zat pemakanan di bahagian depan peket; peraturan berkaitan pengiklanan; cukai ke atas pengilang dan pengimport; serta larangan ke atas minuman dalam peket dengan kandungan gula lebih tinggi.

Meletakkan label di bahagian depan peket secara mandatori diharap membantu pengguna mengenal pasti minuman kurang sihat dan membuat pilihan lebih baik.

Peraturan berkaitan pengiklanan pula boleh membantu mengurangkan pengaruh iklan ke atas pilihan pengguna.

Cukai ke atas pengilang dan pengimport minuman dalam peket diharap mampu menggalak industri mengurangkan kandungan gula dalam rumusan minuman mereka.

Larangan seluruh negara terhadap minuman dalam peket dengan kandungan gula lebih tinggi pula diharap boleh mengurangkan pengambilan minuman sedemikian.

“Pemerintah akan menimbangkan semua maklum balas secara teliti sebelum mengambil keputusan langkah selanjutnya,” katanya.

Pandangan dan maklum balas boleh disalurkan menerusi laman web Reach mulai sekarang hingga 6 petang pada 25 Januari ini.

“Sebagai sebahagian konsultasi awam itu, MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan menganjurkan dialog bersama orang ramai dan pihak industri dalam bulan-bulan mendatang. Perincian dialog awam itu akan diberi dekat dengan tarikhnya,” menurut kenyataan itu.

Kencing manis masalah kesihatan serius di Singapura. Negara ini mempunyai kadar penghidap kencing manis tertinggi dalam kalangan negara maju.

Bilangan penduduk Singapura yang menghidap kencing manis dianggar mencecah 1 juta orang menjelang 2050, sekiranya tiada usaha dilakukan demi menangani trend buruk itu.

Buat masa ini, kencing manis punca kedua masalah kesihatan di Singapura.

Pengurusan yang kurang baik penyakit itu boleh menimbulkan komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, kegagalan ginjal, buta dan amputasi bahagian bawah tubuh.

MOH mula mengumumkan usaha Perang Diabetes pada 2016 dan menggerakkan seluruh masyarakat menangani penyakit itu.

Satu strategi pelbagai sudut telah dilaksanakan di bawah Perang Diabetes.

Ini termasuk pencegahan menerusi kehidupan sihat; pemeriksaan kerap; pemeriksaan susulan bagi pengesanan dan rawatan awal; dan pengurusan penyakit lebih baik.

Semua itu dilakukan berdasarkan pendidikan awam, pendekatan masyarakat dan kerjasama dengan industri.

“Perang Diabetes telah menunjukkan tanda kemajuan yang menggalakkan, tapi banyak yang perlu dilakukan bagi menghasilkan sekitaran yang menyokong bagi warga Singapura menjalani gaya hidup lebih sihat dan hidup bebas kencing manis,” kata MOH.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.