Kaji empat langkah kurangi ambil gula

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

EMPAT langkah yang disarankan demi membantu warga Singapura membuat pilihan lebih sihat dan berasaskan maklumat yang betul kini dipertimbang Kementerian Kesihatan (MOH).

Empat langkah tersebut, yang bertujuan mengurangkan pengambilan gula daripada minuman dalam peket dengan gula pemanis, termasuk mewajibkan label zat pemakanan di bahagian depan peket, peraturan berkaitan pengiklanan, cukai ke atas pengilang dan pengimport, serta larangan ke atas minuman dalam peket dengan kandungan gula lebih tinggi.

MOH berkata melalui kenyataannya bahawa mereka sudah pun menyemak langkah dan amalan serta mengkaji kesannya di negara lain.

Demi membantu orang ramai mengenal pasti minuman dalam peket dengan gula pemanis yang kurang sihat, yakni memiliki kandungan gula dan lemak tinggi, label zat pemakanan di bahagian depan peket mungkin diperkenal.

“Bukti menunjukkan bahawa label zat pemakanan di bahagian depan peket, berbanding maklumat nutrisi penuh, lebih berkesan dalam usaha membantu orang ramai mengenal pasti produk yang mempunyai kandungan gula tinggi atau yang mempunyai mutu nutrisi tidak baik, kerana ia tidak memerlukan pengetahuan nutrisi yang tinggi,” menurut kenyataan MOH.

Menurut MOH, kajian menunjukkan bahawa iklan makanan kurang sihat juga mempengaruhi pilihan dan menggalak tabiat pemakanan, terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak.

Buat masa ini, Singapura mempunyai panduan yang bertujuan mengehadkan pengiklanan makanan dan minuman kurang sihat kepada kanak-kanak hanya pada waktu siaran dan juga saluran media tertentu.

Setakat ini, tiada panduan bagi keperluan masyarakat secara am.

“Satu langkah yang mungkin boleh diambil adalah mengenakan peraturan pengiklanan ke atas minuman dalam peket dengan gula pemanis yang kurang sihat dalam media massa, termasuk dalam talian, untuk mengurangkan pengaruh terhadap pilihan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Dua langkah yang kini dipertimbang berkaitan pengiklanan adalah memperluas larangan sedia ada kepada lebih banyak saluran media atau melarang pengiklanan bagi semua waktu siaran dan saluran media massa.

Satu lagi langkah yang dikaji adalah memperkenal cukai terhadap pengilang dan pengimport bagi mendorong industri minuman dalam peket dengan gula pemanis untuk mengubah rumusan dan mengurangkan kandungan gula dalam produk.

“Matlamat cukai, jika diperkenal, bukan untuk mendapatkan keuntungan tetapi membentuk sikap penghasil dan orang ramai.

“Cukai yang dikenakan terhadap minuman dalam peket dengan gula pemanis bertujuan menggalak penghasil mengubah formula produk dan mendorong orang ramai memilih minuman lebih sihat dan mempunyai kandungan gula rendah atau minum air putih sahaja,” katanya.

Selain itu, larangan umum ke atas minuman berpeket dengan kandungan gula lebih tinggi dipertimbang.

Buat masa ini, minuman dalam peket yang mempunyai lebih tiga sudu teh gula bagi setiap 250 mililiter tidak dibenarkan dijual hanya di sekolah dan bangunan pemerintah.

PILIH MINUMAN KURANG GULA: Saranan yang diketengahkan MOH bertujuan mendorong dan membantu warga Singapura memilih minuman lebih sihat. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.