ESM Goh lancar edisi Marine Parade biografi ‘Tall Order’

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

MENTERI Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong melancarkan edisi khas bukunya Tall Order: The Goh Chok Tong Story (Tugas Mencabar: Kisah Goh Chok Tong) di Perpustakaan Awam Marine Parade Sabtu lalu.

Dalam edisi khas tersebut, iaitu edisi Marine Parade, Encik Goh telah menzahirkan penghormatan terhadap kawasan undi itu.

Beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) kawasan itu sepanjang 10 pilihan raya umum dan satu pilihan raya kecil.

Jumlah naskhah edisi khas terhad dan dijual pada harga istimewa ketika pelancaran, menurut kenyataan penerbitnya World Scientific.Bak terhutang budi kepada kawasan Marine Parade, beliau berkata dirinya mungkin tidak akan berjaya dalam kerjaya politik jika bukan kerana perjalanan dimulakan di sana.

Kawasan tersebut pesat berkembang daripada hanya tanah tambak kepada “rumah bagi segenap lapisan umur”.

Beliau turut menghargai orang kuat yang memungkinkan pembangunan kawasan tersebut.

Katanya, mereka orang “dengan kewibawaan, komitmen, keupayaan, sifat tidak mementingkan diri dan semangat menguruskan kawasan pilihan raya”.

Beliau turut memberi penghormatan kepada semua yang pernah membantunya dulu, termasuk Ejen Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Umum 1976, mendiang Chong Ah Fatt. Mendiang Chong meninggal dunia pada usia muda.

Pelancaran juga dihadiri Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Kesihatan), yang juga penasihat kedua Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Joo Chiat, Encik Edwin Tong; penasihat Pertumbuhan Akar Umbi (GRO) MacPherson, Cik Tin Pei Ling; dan Naib Pengerusi CCMC Marine Parade, Encik Anand Nalachandran.

Buku merakam kisah hidup dan kerjaya Encik Goh itu dilancar secara rasmi oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 8 November lalu. Buku tersebut tulisan pemenang Hadiah Sastera Singapura (SLP), Encik Peh Shing Huei.

Hasil penjualan buku akan disalurkan kepada dua badan amal yang diasaskan Encik Goh, iaitu Dana Mediacorp Enable dan EduGrow for Brighter Tomorrows.

PELANCARAN EDISI EKSKLUSIF MARINE PARADE: ESM Goh (kiri) dan penulis buku ‘Tall Order: The Goh Chok Tong Story’ Peh Shing Huei (dua dari kiri) menandatangani edisi khas Marine Parade semasa majlis pelancarannya di Perpustakaan Awam Marine Parade Sabtu lalu. – Foto BH oleh JONATHAN CHOO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.