Pemilik kondo diarah ubah semula reka bentuk balkoni

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

MAHKAMAH Tinggi telah mengarahkan pemilik unit kondominium supaya mengembalikan semula rekaan asal kawasan balkoni, selepas memutuskan bahawa kerja ubah elok dilakukannya melanggar peraturan dan menjejas estetik keseluruhan bangunan itu.

Dalam kes yang jarang berlaku, mahkamah menjelaskan meskipun kerja ubah elok dijalankan dalam unit yang dimiliki, tetapi terdapat kepentingan masyarakat, menurut laporan The Straits Times.

Hakim Vinodh Coomaraswamy telah menulis dalam keputusannya bahawa dalam keadaan tertentu, skim perundangan hak strata wujud bagi memudahkan kehidupan bersama.

Pemilik unit itu, Cik Florence Lim, mendapat izin daripada perbadanan pengurusan (MC) projek mewah The Acardia, berdekatan Adam Road, untuk mengubah elok unitnya pada Jun 2011.

MC mendakwa yang Cik Lim meluaskan laluan masuk dari ruang tamunya ke balkoni dengan menggerakkan tiang dinding dan memasang pintu gelangsar kaca baru.

Ini adalah sebahagian daripada rancangan kerja ubah elok lebih besar yang sudah mendapat kelulusan, menerusi kontraktornya.

MC, yang diwakili oleh peguam Lim Tat dan Jasmin Kang, kemudian membawa kes itu ke mahkamah dan menegaskan bahawa pihak itu telah meluluskan semua kerja ubah elok kecuali kerja berkaitan pintu gelangsar.

Cik Lim, menerusi peguamnya, Moiz Sithawalla dan Zara Chan, membidas sambil menekankan bahawa surat MC telah meluluskan semua ubah elok termasuk kerja berkaitan balkoni, bergantung kepada syarat.

Cik Lim menambah bahawa seorang pengurus kondominium telah secara lisan meluluskan kerja memusnahkan tiang dinding dalam satu pertemuan dengan kontraktornya.

Beliau enggan mengembalikan semula rekaan asal balkoni itu.

Tahun lalu, empat pemilik unit lain telah melakukan kerja-kerja yang tidak diizinkan di balkoni mereka.

Hakim Vinodh menarik perhatian bahawa undang-undang kecil MC yang relevan bertujuan memastikan muka bangunan The Arcadia adalah seragam.

Beliau juga akur bahawa surat MC tidak jelas tetapi juga mendapati yang cara Cik Lim menafsir surat itu tidak tepat, sambil menukil beberapa aspek surat berkenaan.

Hakim itu juga mengatakan bahawa sebarang kelulusan secara lisan tidak mempunyai sebarang kesan dari segi undang-undang.

Sementara itu, beliau menarik perhatian bahawa empat pemilik rumah lain yang melanggar peraturan telah bersetuju untuk mengembalikan semula rekaan asal balkoni mereka pada 1 Disember 2021, bergantung kepada syarat tertentu.

Cik Lim akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

TIDAK DAPAT IZIN: Pemilik salah satu unit kondominium di The Acardia ini telah meluaskan laluan masuk dari ruang tamunya ke balkoni dengan menggerakkan tiang dinding dan memasang pintu gelangsar kaca baru. – Foto BH oleh KHALID BABA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.