Keselamatan pesilat semasa kejohanan diutamakan

Berita Harian - - SUKAN -

SERINGKALI seni mempertahankan diri melibatkan aksi perlawanan yang tangkas dan penuh semangat.

Jika silap langkah, mungkin ia akan mengakibatkan sesuatu perkara tidak diingini berlaku.

Justeru, dalam setiap kejohanan seni mempertahankan diri seperti pencak silat, keselamatan atlit menjadi keutamaan.

Selain pelindung badan yang harus digunakan, gelanggang seni mempertahankan diri juga menggunakan alas permukaan yang dapat melindungi para atlit daripada mengalami sebarang kecederaan serius.

Bahkan Dewan 1 OCBC Arena, Hab Sukan Singapura akan dialas dengan permukaan yang tidak mudah tergelincir berukuran 10 meter dengan 10 meter menjelang Kejohanan Pencak Silat Sedunia yang ke-18 yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 Disember ini.

Alas yang digunakan juga perlu mempunyai permukaan yang rata dan tidak melantun.

Bagi kategori Tanding, permukaan gelanggang akan dibulatkan dengan ukuran 8 meter bagi menandakan kawasan yang digunakan pesilat ketika bertarung.

Bulatan kecil di tengah padang pula digunakan untuk memisahkan kededua pesilat yang bertarung sebelum perlawanan bermula.

Kedua-dua pihak yang bertentangan juga diperuntukkan sudut mereka sendiri. Ini dilabelkan dalam warna biru dan merah pada penjuru gelanggang, manakala dua sudut yang lain, yang ditandakan dengan warna kuning, adalah kawasan neutral.

Sementara itu, bagi kategori Seni, pesilat mampu menggunakan seluruh kawasan gelanggang dan tidak tertakluk pada kawasan bulatan.

Masa yang ditetapkan bagi perlawanan kategori Tanding ialah dua minit bagi setiap tiga pusingan, dengan memperuntukkan masa rehat sepanjang seminit antara setiap pusingan.

Pesilat bagi kategori Seni pula hanya mempunyai tiga minit untuk mempamerkan gerakan dan persembahan mereka.

Yang pasti Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 akan menyajikan banyak aksi yang ligat dan penuh semangat oleh para pesilat dari 44 negara yang bertarung untuk merebut gelaran juara dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.