Keadaan hidup susah bentuk keperibadian

Berita Harian - - WACANA -

ENCIK Chan Chun Sing dibesarkan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai seorang pengendali mesin bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Encik Chan, yang dilahirkan pada 1969, tinggal di flat tiga bilik di Macpherson bersama ibu, kakak, nenek, datuk dan mak ciknya sehingga beliau berusia sekitar 30 tahun.

Membesar dalam keadaan yang susah membentuk peribadi Encik Chan, yang dikenali dengan sikap berjimat cermat.

Sehingga kini beliau, yang berusia 49 tahun, masih memakai jam tangan plastik berwarna hitam jenama Casio, dan memandu kereta Toyota Prius.

Mengenai zaman kanak-kanaknya, Encik Chan berkata dalam satu wawancara:

“Apabila anda tidak mempunyai sumber untuk membeli kasut baru, anda memberitahu diri anda, anda tidak memerlukannya.”

Keadaan hidup menjadikannya lebih berazam berjaya.

Seorang mantan gurunya memberitahu akhbar The Sunday Times:

“Beliau tahu apa yang perlu diatasi. Beliau ada azam kuat untuk cemerlang.”

Encik Chan berpendidikan awal di Sekolah Rendah Macpherson dan kemudian di Raffles Institution (RI) dan Maktab Rendah Raffles.

Seorang ulat buku, beliau pernah bercita-cita menjadi pustakawan.

Encik Chan muncul sebagai pelajar terbaik di sekolahnya bagi GCE peringkat ‘A’, dan memperoleh Biasiswa Presiden dan Biasiswa Luar Negara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Beliau meraih kepujian kelas pertama dalam jurusan ekonomi dari Universiti Cambridge dan kemudian meraih ijazah sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Beliau juga merupakan pelajar asing pertama yang meraih Anugerah Ahli Strategi Utama Kehormat di Kolej Komand dan Staf Tentera Amerika Syarikat, Fort Leavenworth.

Encik Chan mengukir kerjaya cemerlang dalam angkatan tentera. Antara 2001 hingga 2003, beliau merupakan atase tentera di Kedutaan Singapura di Jakarta.

Oleh itu, Encik Chan fasih berbahasa Indonesia, selain Inggeris, Mandarin, Hokkien dan Kantonis.

Beliau dilantik Panglima Angkatan Tentera Darat pada 2010.

Selepas 24 tahun dalam SAF, Encik Chan menyertai politik pada 2011.

Di sebuah rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) tahun itu, beliau menerima kritikan hebat daripada ‘netizen’ (pengguna Internet) apabila beliau menggunakan istilah ‘kee chiu’ (angkat tangan dalam bahasa Hokkien) dalam ucapannya mengenai penakatan Singapura.

Frasa itu kekal pada dirinya sejak itu dengan beberapa ‘netizen’ menggunakannya untuk mempersenda cara pertuturan dan sikapnya yang tidak formal.

Encik Chan dipilih sebagai Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar dalam Pilihan Raya Umum Mei 2011, dan kemudiannya dilantik sebagai Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, dan juga Menteri Negara (Perhubungan, Penerangan dan Kesenian). Pada usia 41 waktu itu, beliau merupakan yang termuda di Kabinet.

Pada September 2013, beliau dinaik pangkat menjadi menteri penuh, menjadikannya antara yang paling cepat naik pangkat dalam kumpulan pemimpin yang memasuki politik pada pilihan raya 2011.

Encik Chan kemudian dipilih menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) – yang membuat keputusan tertinggi PAP – pada 2012, 2014, 2016 dan terbaru pada 2018.

Beliau menjadi ketua buruh Singapura pada Mei 2015, mengambil alih peranan daripada Encik Lim Swee Say, yang meletak jawatan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Encik Chan telah mendapat pendedahan kepada pelbagai jawatan termasuk menerajui Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, menjadi Setiausaha Agung NTUC, timbalan pengerusi Persatuan Rakyat (PA) dan Whip Parti, dan kini Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Encik Chan sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak. Baru-baru ini, Encik Chan memaparkan pendekatan politiknya dalam satu interviu dengan ketua eksekutif Asia House, Encik Michael Lawrence, di sidang serantau anjuran pusat kepakaran Asia yang berpangkalan di Britain. Menurutnya, model kepimpinan di Singapura berteras prinsip ‘kesinambungan’.

Pemimpin generasi lebih muda juga berasa perlu membina pasukan terkuat bagi Singapura untuk memastikan setiap generasi warga Singapura boleh meneruskan impian, kekal berdaulat, bebas dan berjaya, kata Encik Chan.

“Bagi setiap generasi warga Singapura, definisi kejayaan bukanlah tentang kejayaan yang kita capai sendiri, malah tentang bagaimana kita mengupayakan generasi selanjutnya meraih pencapaian yang lebih baik bagi diri mereka sendiri. Dengan cara inilah, kita akan terus membawa negara ini ke hadapan,” katanya.

Dalam satu interviu lain mengenai pemimpin generasi keempat, Encik Chan berkata Singapura memerlukan satu pasukan yang memiliki set kemahiran pelbagai agar semangat tidak mudah luntur wujud dalam pasukan kepimpinan dan juga demi kepentingan negara.

Beliau juga berkata Singapura perlu mempunyai pasukan “kepimpinan terkuat yang mungkin” supaya pihak lain memandang serius terhadap Singapura dan sanggup bekerjasama dengannya.

Dalam satu persidangan bulan lalu pula, Encik Chan mengongsi pandangannya tentang elitisme.

“Saya tidak akan mengecam seseorang, tidak kira latar belakang beliau, jika beliau berjaya dan kemudian menyumbang kepada masyarakat. Tapi, jika seseorang yang berjaya dan bukan menerusi usahanya sendiri, tetapi mungkin kerana rangkaian hubungan yang dimilikinya dan tidak menyumbang kepada masyarakat, itu perkara lain sama sekali,” kata Encik Chan.

MUDAH BERINTERAKSI: Encik Chan Chun Sing (berbaju merah) diatakan seorang yang rendah hati dan keikhlasannya menyerlah semasa berinteraksi dengan sesiapa saja. – Foto NTUC

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.