Pertandingan dikir barat untuk wanita di WGS

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SATU pertandingan dikir barat khas bagi wanita akan diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) Sabtu ini.

Mega Puteri 2018 yang merupakan ‘spin off’ atau acara sampingan daripada Mega Perdana yang dianjurkan Persekutuan Dikir Barat Singapura (SDBF) pada 1993 bertujuan menyediakan ruang bagi aktivis Dikir Barat wanita serta belia untuk menyalurkan tenaga mereka secara positif.

Persekutuan tersebut yang diasaskan pada 1992 merupakan badan bukan mencari keuntungan yang mahu mengekalkan dan memantau nilai kesenian serta perkembangan dikir barat di Singapura.

Mega Perdana yang pernah diadakan sebanyak 11 kali sejak SDBF ditubuhkan merupakan pertandingan dikir barat di peringkat nasional.

Diilhamkan daripada pertandingan tersebut, Mega Puteri 2018 juga merupakan wadah bagi menyanjung dan menghargai wanita yang perlu mengimbangi antara masa di tempat kerja, rumah mahupun sekolah dengan usaha serta dedikasi bagi mengekalkan seni tradisional dikir barat.

Dianjurkan bersama SDBF dan WGS, pertandingan itu akan diadakan di ruang acara di aras 1 WGS.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dijangka hadir sebagai tetamu terhormat di acara yang bakal dihadiri sekitar 700 orang itu.

Sebanyak 11 persembahan asli yang menggabungkan unsur tarian, komposisi muzik dan karya sastera akan menghiburkan hadirin di acara yang disertai hampir 250 peserta itu.

Peserta akan diberi peluang mereka set persembahan puisi dan lirik sendiri.

Melalui persembahan tersebut yang akan dilakukan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, hadirin boleh memahami dan mentafsir sendiri mesej yang ingin disampaikan.

Dikir Barat merupakan seni tradisional yang meggunakan ungkapan lirikal dan menonjolkan keindahan dan keragaman bahasa Melayu.

Melalui acara Mega Puteri 2018, diharapkan seni dikir barat dapat dikekalkan dan disebarkan terutama kepada golongan muda.

Selain itu, acara tersebut mahu memupuk ikatan yang lebih akrab di kalangan aktivis dikir barat meskipun mereka bersaing antara satu sama lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.