DJ Dave didik artis beringat, berjimat menerusi yayasan

Berita Harian - - GAH! -

KISAH kematian seorang insan seni popular yang meninggalkan anak isteri tanpa wang bagi urusan pengkebumian mencetuskan ilham kepada Datuk DJ Dave menubuhkan sebuah yayasan.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) itu memberitahu akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) bahawa meskipun sudah 10 tahun berlalu, peristiwa sedih itu membuatkan beliau bertekad membantu mereka yang memerlukan.

“Balu artis itu memaklumkan, mereka tiada wang menguruskan pengkebumian suaminya. Ia sangat menyedihkan apabila perkara seperti itu menimpa waris yang ditinggalkan.

“Keadaan itu membuatkan saya terfikir agar mewujudkan sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan artis supaya boleh membantu menyelesaikan masalah membabitkan penggiat seni.

“Peristiwa itu juga mengajar saya berusaha menyedarkan artis supaya menyimpan dan membuat persediaan sebelum meninggal dunia dengan memperkenalkan program Khairat Kematian YKAT,” katanya.

Dave berkata, kempen Khairat Kematian YKAT yang direalisasikan itu menjadi antara agenda penting yayasan terbabit.

Katanya, program yang sama pernah diperkenalkan beberapa tahun lalu, namun belum ramai penggiat seni termasuk kru di balik tabir mengambil peluang itu.

“Khairat kematian yang diperkenalkan itu belum diterima dengan begitu meluas dan rakan artis menjadi kelompok sasaran utama.

“Kami harap, pelancaran semula program itu kelak akan disertai anak seni, sekali gus membuatkan mereka faham kepentingan caruman ini,” katanya mengenai skim kerjasama dengan Darul Jenazah.

Program Pelancaran dan Penjenamaan Semula Khairat Kematian YKAT akan diadakan di Hotel Tune, Kuala Lumpur, esok.

Bukan sekadar penyanyi atau pelakon, program itu turut diperluaskan kepada penggiat industri hiburan termasuk seniman jalanan dan kru.

PRIHATIN TENTANG KEBAJIKAN ARTIS: Datuk DJ Dave mengasaskan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) kerana peka dan bimbang tentang artis yang tidak berusaha menabung sehingga timbul kesukaran buat keluarga dan diri sendiri apabila sakit. – Foto THE MALAYAN MAIL

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.