Siti Hasmah gesek biola untuk ‘Konsert Duo Legenda’ bersama Jamal, M. Nasir

Berita Harian - - GAH! -

ISTERI Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sanggup menyertai kelas latihan biola bagi memastikan kemunculan istimewanya di Konsert Duo Legenda bersama Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir berjalan dengan baik.

Menurut Jamal, beliau bersama M. Nasir menyertai Siti Hasmah selama empat hari di kelas tersebut bagi membolehkan mereka menjalani latihan mendendangkan lagu Gubahanku.

“Sebenarnya apa yang saya diberitahu beliau memang ada rutin pergi ke kelas biola setiap minggu namun sempena persembahan kami nanti, Dr Siti Hasmah lebih giat berlatih.

“Kami berlatih selama empat hari di kelas biola beliau. Sebagai penyanyi, saya memang teruja,” kata Jamal.

Jamal ditemui pada sidang media konsert itu yang diadakan di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur Isnin, lalu.

Konsert Duo Legenda itu bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 20 hingga 23 Disember.

Dr Siti Hasmah akan membuat kemunculan pada 22 Disember sempena malam VVIP konsert itu.

Jamal mendedahkan Dr Siti Hasmah sendiri memilih lagu Gubahanku untuk dipersembahkan pada malam tersebut.

Sementara itu, Jamal berkata pada malam VVIP itu, pihaknya turut mengadakan segmen khas bagi mengutip dana daripada penonton untuk disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan seperti rumah anak yatim dan rumah kebajikan orang tua.

“Pada 22 Disember adalah malam VVIP dan segmen bersama Dr Siti Hasmah juga diadakan bagi mengutip dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Kami berharap akan ada lebih ramai wakil badan korporat yang sudi hadir menonton sambil menghulurkan sumbangan,” katanya.

Konsert empat malam itu dibawa khas oleh Shapadu selaku penaja utama dan dianjurkan oleh syarikat milik Jamal sendiri, BinJamal Event. – Agensi berita

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.