City teraju dengan 5 mata, tapi bergelut dengan Watford

Berita Harian - - SUKAN -

LONDON: Manchester City meluaskan jurang mata di persada Liga Perdana England (EPL) dengan kemenangan ketujuh berturut-turut.

Namun, mereka terpaksa berhempas-pulas membenam Watford 1-2 di padang lawan.

Gol City dijaringkan dalam setiap babak menerusi Leroy Sane dan Riyad Mahrez sekali gus menjinakkan benteng pertahanan Watford yang agak kukuh.

Namun, City terpaksa bertahan apabila pemain lawan Abdoulaye Doucoure berjaya meraih satu gol lima minit sebelum permainan tamat.

Kapten City Vincent Kompany berkata:

“Ia satu perlawanan Liga Perdana yang cukup menarik, sejurus Watford jaringkan gol, mereka mula lakukan hantaran. Kami berjaya kawal dengan baik. Memang sukar mahu menang setiap perlawanan kerana ini bukan satu fantasi.”

Dalam perlawanan tersebut, jurulatih City Pep Guardiola telah membuat enam perubahan dalam kesebelasan utama.

Pemain utama seperti Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne tidak dapat bermain atas sebab kecederaan.

Sungguhpun begitu, City tetap terlalu gagah bagi pasukan tuan rumah.

Penjaga gawang Watford Ben Foster terpaksa bekerja keras dalam perlawanan tersebut yang mungkin boleh berkesudahan dengan lebih banyak gol disumbat City.

Guardiola mengubah seluruh benteng pertahanan selepas kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth.

Beliau meletakkan seorang lagi pemain handalan Raheem Sterling di bangku simpanan tanpa memainkannya dalam perlawanan dengan Watford.

Mahrez mengambil alih tempat Sterling yang kemudian bertindak cemerlang dalam perlawanan tersebut.

Leroy Sane menjaringkan gol pertama pada minit ke-40 hasil umpan Mahrez.

Sane yang tidak dikawal menyambut bola dengan dada sebelum merembatnya melepasi dakapan Foster.

Enam minit selepas separuh masa kedua bermula, City bertindak cemerlang sekali lagi.

Kali ini, Gabriel Jesus menolak bola ke belakang supaya Mahrez boleh melepaskan rembatan kencang dan menjaringkan gol kedua pasukan.

Doucoure menjaringkan gol saguhati buat Watford menyusuli kekecohan di depan gol City. City terus bertahan sehingga wisel penamat.

Dalam perlawanan berasingan, Bournemouth berjaya memintas Manchester United untuk menduduki tempat keenam menyusuli kemenangan 2-1 ke atas Huddersfield di padang sendiri.

Callum Wilson Ryan Fraser menjaringkan gol buat Bournemouth sebelum Terence Kongolo menjaringkan gol saguhati buat Huddersfield.

Brighton yang bermain dengan hanya 10 pemain selepas 28 minit berjaya menundukkan Crystal Palace 3-1.

Kemenangan itu bermakna Brighton kini berada di tangga ke-10 manakala Palace pula di tangga ke-15.

West Ham juga mengukuhkan kedudukan dalam EPL selepas kemenangan 3-1 ke atas Cardiff City.

West Ham kini berada di tangga ke-12, sementara Cardiff di tangga ke-16. – AFP.

PENUH AKSI: Royad Mahrez (kiri), yang cuba merebut bola daripada Jose Holebas, cemerlang bermain buat Manchester City dalam kemenangan pasukannya ke atas Watford. – Foto REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.