Lebih banyak SME jangka hasil jualan 2018 merosot: Tinjauan

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

LEBIH banyak syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura menjangkakan penurunan dalam penjualan mereka tahun ini, sambil menyebut sekitaran perniagaan yang mencabar menjadi punca utama prestasi lembap itu.

Malah, kelakonan itu juga sebahagiannya terjejas oleh perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China.

Tinjauan Pembangunan SME 2018 oleh syarikat maklumat perniagaan, DP Info, mendapati 15 peratus SME menjangka pertumbuhan penjualan negatif bagi 2018, naik dari 11 peratus pada 2017, dan 12 peratus pada 2016.

Dua bagi setiap lima SME atau 40 peratus menjangka pertumbuhan dalam penjualan mereka tahun ini.

Tinjauan itu, yang kini dalam edisi ke-16, mempunyai 2,557 responden SME dan dijalankan antara Jun dengan Ogos lalu.

Menurut laporan tersebut, 19 peratus SME berkata mereka terjejas oleh konflik perdagangan berterusan antara Amerika dengan China.

Daripada jumlah itu, 54 peratus berkata ia telah menjejas daya saing eksport, sedang 40 peratus berkata ia menurunkan jualan luar negara.

Sekitar 28 peratus SME berkata ia telah menjejas atau melengahkan rancangan penyejagatan mereka.

Meskipun ada halangan perdagangan, SME masih berharap untuk berkembang di luar negara.

Asia terus menjadi titik tumpuan dalam pencarian SME bagi pasaran baru, dengan minat lebih besar dilihat dalam Asean, terutama di Filipina dan Thailand tahun ini, kata laporan tersebut.

Kos tenaga manusia yang tinggi terus menjadi keprihatinan utama bagi 36 peratus SME, diikuti persaingan domestik yang meningkat pada 32 peratus.

Dapatan juga mencerminkan peningkatan dalam isu berkaitan tenaga kerja, dengan lebih banyak firma menyatakan kesukaran mengambil kakitangan (28 peratus) dan mengekalkan kakitangan (11 peratus) berbanding tahun lalu.

Aliran tunai juga kekal sebagai keprihatinan SME. Satu dalam tiga firma menghadapi isu berkaitan kewangan luar – serupa dengan tahun lalu.

Mereka yang menghadapi kelengahan bayaran daripada pelanggan juga meningkat.

Kelengahan bayaran oleh pelanggan – yang merupakan isu berkaitan kewangan paling utama yang dihadapi SME – naik dari 81 peratus tahun lalu ke 84 peratus tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.