Najib disoal lagi berkaitan laporan audit 1MDB

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di soal siasat hampir empat jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung pindaan laporan audit 1MDB.

Sumber SPRM berkata Datuk Najib tiba di agensi itu pada 10.30 pagi semalam dan pulang sekitar 2.30 petang semalam.

SPRM sebelum ini dilaporkan telah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB itu.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suruhanjaya itu juga telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

Sehubungan itu, jelasnya, SPRM akan memanggil beberapa saksi dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan isu tersebut dalam tempoh terdekat.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dilaporkan mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Datuk Najib.

Tan Sri Madinah dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Datuk Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh, mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang.

SPRM memanggil mereka yang dipercayai terlibat termasuk Datuk Najib; bekas ketua setiausaha sulitnya Tan Sri Shukry Salleh; bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Ali Hamsa; bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Kelmarin, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika disoal siasat agensi itu menafikan terbabit dalam meminda laporan tersebut.

Tan Sri Dzulkifli berkata beliau antara saksi terakhir disoal siasat SPRM, di mana lebih 15 individu dipanggil agensi antirasuah itu sebelum ini.

Turut dipanggil kelmarin ialah bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, yang hadir buat kali kedua selepas memberi keterangan pada 26 November lalu berhubung kes yang sama.

Terdahulu Tan Sri Madinah berkata berdasarkan kronologi yang disediakan oleh pasukan audit 1MDB, Tan Sri Shukry pada 20 Februari 2016, telah meminta pasukan audit 1MDB agar kemukakan laporan akhir pengauditan untuk dibincangkan bersama Datuk Najib.

Mesyuarat bersama Datuk Najib pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri dengan kehadiran Tan Sri Ali; Tan Sri Shukry dan Tan Sri Ambrin telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguat kuasa. – Utusan Malaysia

BANTU SIASATAN: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di soal siasat hampir empat jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.