Sistem pisah fungsi eksekutif dan lembaga jadikan Muis lebih bertanggungjawab

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SISTEM yang memisahkan fungsi eksekutif dan lembaga Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang berjalan dengan baik dan memastikan kebertanggungjawapan, kata ketua eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Abdul Razak Hassan Maricar.

Ini telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu apabila Haji Abdul Razak dilantik sebagai ketua eksekutif Muis yang pertama.

“Ini memerlukan cara bekerja berbeza, dan saya sekarang bertanggungjawab kepada lembaga yang memperkasa saya pula untuk mengendali dasar dan mengurus pertubuhan itu.

“Kami mendapati struktur ini berjalan amat baik. Ia mematuhi amalan baik dalam pentadbiran,” ujar Haji Abdul Razak.

Beliau dilantik menjadi ketua eksekutif Muis yang pertama pada 2013, untuk menerajui pengurusan harian badan berkanun itu.

Sebelum beliau, Haji Mohammad Alami Musa telah menjadi Presiden eksekutif Muis sejak 2003, yang mengendali urusan harian Muis dan pada masa sama mempengerusi lembaga majlis tertingginya.

Haji Alami kekal menjadi Presiden Majlis Tertinggi Muis sehingga hari ini.

Sejajar dengan peraturan bagi semua badan berkanun untuk mengemas kini struktur pentadbiran mereka, Muis mengambil langkah memisahkan fungsi eksekutif dan tanggungjawab lembaganya.

Sebelum itu, pindaan telah dibuat kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) untuk memisahkan dua fungsi tersebut, dan mewujudkan jawatan ketua eksekutif.

Pemisahan fungsi itu juga membolehkan pegawai awam Muslim yang layak dan berpengalaman untuk dilantik sebagai ketua eksekutif Muis.

“Ia membolehkan Muis memanfaatkan bakat daripada perkhidmatan awam untuk memenuhi jawatan ketua eksekutif.

“Itulah yang berlaku. Kami telah mampu membawa masuk Esa Masood, seorang pegawai pentadbiran untuk berkhidmat sebagai ketua eksekutif Muis,” ujar Haji Abdul Razak.

Encik Esa Masood, 39 tahun, yang kini timbalan ketua eksekutif Muis, akan mengambil alih sebagai ketua eksekutif bermula

1 Januari nanti.

Seorang penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), Encik Esa menyandang pelbagai jawatan kepimpinan sebelum ini di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Pendidikan (MOE), serta Agensi Pembangunan Awal Kanak- Kanak (ECDA).

Beliau menyertai Muis pada lewat 2017.

Oleh itu, perubahan kepada sistem Muis itu telah membantu untuk memperkukuh badan berkanun itu, menurut Haji Abdul Razak lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.