Pelajar Nanyang Poly jaya bina pesawat

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - SITI AISYAH NORDIN [email protected]

SERAMAI 34 pelajar dari jurusan Kejuruteraan Politeknik Nanyang (NYP) berjaya membina pesawat yang boleh berfungsi sepenuhnya.

Ini merupakan pesawat lengkap pertama yang dibina pelajar dari mana-mana politeknik.

Berukuran 6.7 meter panjang, pesawat yang mampu berlepas dan mendarat pendek atau ‘short take-off landing’ itu dikatakan mempunyai kuasa yang cukup untuk terbang ke Kuala Lumpur dari Singapura dan kembali.

Dibina bersama 34 pelajar dari kursus diploma Teknologi Aeronautik dan Aeroangkasa dan Sistem & Pengurusan Aeroangkasa, pesawat STOL CH750 itu dilengkapi enjin yang berfungsi sepenuhnya, alat elektronik canggih, kokpit kaca, tempat duduk untuk juruterbang dan seorang penumpang serta ruang meletak barangan.

Seorang atau dua pelajar dari jurusan itu setiap semester akan dipilih untuk mengusahakan bahagian pesawat tertentu selama tiga bulan dan akan bertukar tangan kepada kumpulan semester seterusnya.

Projek yang dimulakan sejak 2014 itu memberi peluang pelajar mempelajari tanggungjawab kakitangan aeroangkasa, contohnya melalui kejuruteraan ‘hands-on’ dan penyelarasan.

Pesawat tersebut dipercayai boleh terbang berdasarkan reka bentuk yang diluluskan Persekutuan Pentadbiran Penerbangan di bawah Pensijilan dan Operasi Pesawat yang Dibina Amatur (Certification and Operation of Amateur-Built Aircraft).

Namun, disebabkan undang-undang penerbangan di Singapura, pesawat tersebut tidak boleh diterbangkan dan hanya digunakan bagi keperluan pendidikan.

Salah seorang pelajar yang terlibat dalam projek tersebut, Encik Muhammad Hariz Roslan, 26 tahun, berkata beliau amat menghargai pengalaman yang diberikan kepadanya walaupun menghadapi beberapa cabaran dan halangan semasa projek tersebut.

Encik Hariz yang telah menumpukan perhatian kepada bahagian ‘flaperon’ pesawat itu berkata:

“Memang saya berasa gembira apabila melihat hasil kerja keras kita (pelajar) semua dan pengalaman ini membuat saya rasa rendah hati kerana peluang seperti ini tidak mudah diraih.

“Melalui projek ini, saya berpeluang merasakan sendiri tanggunjawab dan tugas mereka yang bekerja dalam bidang ini, terutama sekali apabila saya menghadapi kesukaran dan harus memikirkan jalan keluar yang sesuai,” katanya.

Encik Hariz, yang telah tamat pengajian di NYP pada 2015, bakal melanjutkan pelajarannya di Universiti Aeronotik Asia Embry-Riddleyang mempunyai kampus di Singapura dan berkata akan menceburi bidang yang sama setelah tamat sekolah.

Seorang lagi pelajar, Encik Zafri Kusaini, ditugaskan menguruskan enjin pesawat tersebut.

Encik Zafri, 20 tahun, berkata beliau merasakan peranan yang diberi kepadanya amat penting, terutama sekali dalam menyelaraskan enjin pesawat supaya semua berjalan dengan lancar.

“Pada saya, pengalaman ini menunjukkan bagaimana kita perlu menilai kebolehan serta kekurangan masing-masing apabila bekerja dalam kumpulan, supaya kita dapat saling melengkapi dari segi kemahiran.

“Pada pendapat saya ini merupakan sesuatu yang boleh dibawa ke tempat kerja,” katanya.

Beliau yang kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS), telah pun mendapat tempat dalam kursus Aeronautik dan Aeroangkasa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Encik Lim Poh Ghee, pensyarah dan pakar kanan Seksyen Teknologi Aeroangkasa di NYP berkongsi perasaan bangganya melihat hasil kerja keras pelajar di bawah jagaannya.

“Pada mulanya, kami merancang membeli pesawat yang boleh digunakan untuk mengajar dalam kursus ini, tetapi apabila kami sedar bahawa kami sebenarnya mempunyai keupayaan yang secukupnya.

“Justeru, kami memutuskan untuk memberi peluang kepada pelajar bagi membina sendiri pesawat tersebut sambil menggunakan apa yang mereka sudah pelajari,” katanya.

Menurutnya, antara objektif utama projek tersebut adalah melengkapkan pelajar dengan kemahiran menyeluruh dan mendedahkan mereka kepada proses yang dilalui kakitangan industri tersebut.

PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN: Pelajar jurusan Kejuruteraan Politeknik Nanyang yang terlibat dalam projek membina pesawat termasuk Encik Zafri (paling kanan) dan Encik Hariz (dua dari kanan). Mereka dibimbing pensyarah Encik Lim Poh Ghee (tiga dari kanan). – Foto BH oleh JEREMY KWAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.