Pelihara hati dari sikap sombong

Berita Harian - - WACANA HIDAYAH - NIZAM ISMAIL [email protected]

SOMBONG ialah penyakit yang sering menghinggapi kita semua, yang benih-benihnya terlalu kerap muncul tanpa kita sedari.

Ada ketikanya kerana faktor kebendaan, seseorang merasa lebih kaya, lebih rupawan dan lebih terhormat daripada orang lain.

Bagi kecerdasan, seseorang merasa lebih pintar, lebih cekap dan lebih berwawasan berbanding orang lain.

Dan oleh kerana faktor kebaikan, seseorang sering menganggap dirinya lebih bermoral, lebih pemurah dan lebih tulus dibandingkan dengan orang lain.

Semakin tinggi kesombongan itu pula, semakin sulit pula untuk mengesannya.

Menurut Naib Mudir SimplyIslam.sg, Ustaz Syed Mohsen Mohamad Alsagoff, bagi memahami sikap sombong perlu melihatnya dari segi takrif bahasa.

Dari segi bahasa Melayu, ‘sombong’ dimaksudkan menghargai diri sendiri dengan berlebih.

Dalam bahasa Arab pula, ia berasal daripada perkataan ‘takabur’ iaitu maknanya membesar-besarkan diri.

Kalau daripada kaca mata agama pula, Ustaz Syed Mohsen memetik daripada satu hadis daripada Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (HR Muslim).

Ustaz Syed Mohsen menjelaskan, bagi mengenali lebih lanjut tentang sifat sombong itu, kitab suci Al-Quran telah menjelaskan dengan beberapa gambaran antaranya firman Allah di surah Al-Luqman ayat 18 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri (18).”

Kata Ustaz Syed Mohsen: “Daripada ayat tersebut boleh kita fahamkan bahawa sifat ini bukan sahaja mengenai manusia semata-mata. Boleh berlaku juga sombong dengan Allah dan murkanya Allah dengan mereka yang bersifat dengan penyakit hati tersebut.

“Setelah mengenali apakah maksud daripada perkataan sombong, ulama telah menggolongkan sombong dalam beberapa kategori berdasarkan penyebab sifat tersebut iaitu harta, kedudukan, ilmu dan keturunan.”

Beliau turut memberikan contoh, kisah Qarun yang mana apabila dikurniakan harta yang banyak, beliau disuruh bersyukur dengan Allah tetapi angkuh dengan hartanya.

Sama jua dengan kisahnya Firaun dan takaburnya dengan kedudukan yang diberi kepadanya.

Ada juga yang boleh dikatakan yang sombong tidak bertempat iaitu sombong dengan perkara yang dikira ada tetapi sebenarnya tiada.

Misalnya, orang yang berlagak seperti ilmuan tetapi ilmu yang ada padanya hanya sedikit.

“Kesan sombong itu bukan hanya daripada kalangan manusia sahaja akan tetapi ia juga datang daripada kebencian, saling musuh-memusuhi, hasad dan lain-lain tetapi akan mendatangkan kemurkaan Allah yang dengannya dosa dan bala sekali.

“Oleh kerana agama memandang sifat ini hina dan Allah tidak menyukainya, ia lantas merupakan antara sifat terburuk.

“Semoga Allah memelihara kita daripada sifat sombong ini and segala penyakit hati yang lain,” ujar Ustaz Mohsen lagi.

JENIS SOMBONG: Ustaz Syed Mohsen berkata ada juga yang boleh dikatakan yang sombong tidak bertempat iaitu bersombong dengan perkara yang dikira ada tetapi sebenarnya tiada seperti orang yang berlagak seperti ilmuan tetapi ilmu yang ada padanya hanya sedikit. – Foto BH oleh IQBAL FAIZAL.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.