Miley Cyrus ditimpa malang lagi, koleksi gitar bernilai lebih $13,000 dicuri

Berita Harian - - GAH! -

KURANG sebulan selepas kehilangan rumahnya dalam kebakaran hutan di California, Amerika Syarikat, Miley Cyrus sekali lagi ditimpa nasib malang.

Menurut laman berita selebriti TMZ, unit penyimpanan bintang pop itu di San Fernando Valley dirompak dan pencuri melarikan koleksi gitar mahalnya yang bernilai lebih AS$10,000 ($13,702).

Rompakan itu berkemungkinan besar berlaku Oktober lalu namun Cyrus dikatakan percaya alat muzik tersebut dipinjam ahli keluarganya.

Disebabkan itu, beliau tidak melaporkan jenayah tersebut sehingga minggu ini.

Berita buruk itu diketahui hanya sehari selepas Cyrus bercakap tentang melangkah ke hadapan dan kekal positif menyusuli kemusnahan kediamannya.

“Secara jujur, saya berada di tempat pemulihan yang amat baik kini,” kata penyanyi berusia 26 tahun itu dalam wawancara ‘On Air with Ryan Seacrest’ Selasa lalu, sambil menambah beliau “tentunya belajar banyak perkara”.

Cyrus – yang baru melancarkan lagu Nothing Breaks Like a Heart, kerjasama baru dengan Mark Ronson – mendedahkan pada 12 November lalu rumahnya di Malibu yang dikongsi bersama tunangnya, Liam Hemsworth, musnah dalam kebakaran yang menghancurkan Selatan California.

Dalam beberapa minggu selepas itu, Cyrus menemui ketenangan dengan mengongsi kata-kata bapanya, penyanyi Billy Ray Cyrus.

“Bapa saya selalu memberitahu saya, ‘kehidupan adalah siri penyesuaian’. Dan kadangkala kita tidak faham apa yang ibu bapa kita beritahu kita sehingga kita mula mengalami kehidupan dengan lebih banyak kerana mereka belajar perkara itu sepanjang perjalanan kehidupan mereka,” katanya dalam wawancara itu.

“Jadi, saya mula benar-benar faham maknanya kini. Saya rasa mengalami sesuatu yang mengubah kehidupan dan menghancurkan seperti bencana alam, benar-benar satu cabaran watak yang mendalam, saya rasa, dengan melihat cara anda bertindak balas kepada kehilangan.”

Selepas kehilangan rumahnya, Cyrus berkata beliau memutuskan melangkah ke hadapan dengan sikap positif.

Selepas kebakaran itu, Cyrus dan Hemsworth, 28 tahun, pulang ke sisa rumah mereka dan menemui huruf L-O-V-E, yang menghias pintu depan rumah mereka.

“Itu sahaja yang tinggal, secara literal dan fizikal. Anda boleh membina semula sebuah struktur fizikal, tetapi cinta yang tidak dapat dihancurkan itu sentiasa ada dan sentiasa kukuh,” kata Cyrus kepada Seacrest.

BERSIKAP POSITIF: Selepas kehilangan rumahnya dalam kebakaran hutan di California, Amerika Syarikat, Miley Cyrus memutuskan melangkah ke hadapan dengan sikap positif. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.