Tindakan sehala M’sia ancam kedaulatan S’pura: Masagos

Ng Eng Hen: Pasukan keselamatan S’pura telah bertindak dengan terkawal

Berita Harian - - MUKA DEPAN - NUR ADILAH MAHBOB [email protected]

TINDAKAN sehala dan mendadak yang dilaksanakan Malaysia dalam menceroboh perairan Singapura dan mengambil semula ruang udara di Selatan Johor mengancam kedaulatan Singapura, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Bahkan, beliau menambah tindakan itu tidak sesuai dengan semangat kerjasama kededua negara.

“Kawasan tersebut selama ini ditadbir oleh Singapura, dan tidak pernah dituntut oleh pihak Malaysia. Malah, mereka tidak pernah membantah pentadbiran kami di kawasan tersebut.

“Tiba-tiba ia menjadi tuntutan dengan pewartaan sehala dan kapal Malaysia kini berlabuh di kawasan tersebut secara haram,” ujar Encik Masagos.

Pendirian Singapura jelas dalam hal ini, dan negara ini juga menghormati undang-undang antarabangsa dan semua perjanjian dua hala.

“Jika pelanggaran undang-undang dan perjanjian menggugat kedaulatan Singapura, kita akan mempertahankan kedaulatan Singapura dengan tegas,” ujar Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Masyarakat Islam.

Beliau ditemui wartawan bagi mengulas isu pencerobohan kapal Malaysia di perairan Singapura di Our Tampines Hub malam tadi.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan hasrat negara itu mengambil semula ruang udara di selatan Johor – yang tanggungjawab menguruskannya diberikan kepada Singapura.

Selang beberapa jam kemudian, Singapura menggariskan keprihatinannya terhadap langkah Kuala Lumpur meluaskan had pelabuhan Johor Bahru hingga memasuki perairan Singapura.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, mengumumkan Singapura telah memperluas had pelabuhannya sendiri menyusuli pencerobohan dari Malaysia.

“Tindakan sehala dan mendadak ini mengancam kedaulatan Singapura dan tidak sesuai dengan semangat mahu bekerjasama dan menghantar isyarat yang memendungkan suasana.

“Jelas kami akan mengatasi isu ini dengan tegas dan tenang. Rakyat bersatu dalam hal ini,’’ ujar Encik Masagos.

Beliau menambah kedua-dua barisan pemimpin baru Singapura dan Malaysia mahu hubungan dua hala yang positif dan membina.

“Ini jelas daripada cara kita mengatasi isu Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) baru-baru ini. Begitu juga saya fikir rakyat kedua-dua negara mahu kita memandang ke depan dan meninggalkan takuk lama. Banyak yang dapat diraih kededua negara jika kita bersemangat bekerjasama dengan tulus dan konsisten,” ujar Encik Masagos.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, mengingatkan kapal Malaysia yang mencerobohi perairan Singapura agar keluar dari perairan itu, menyifatkan pencerobohan itu satu ‘pelanggaran serius terhadap kedaulatan Singapura’.

Dalam komennya di Facebook semalam, Dr Ng berkata:

“Pasukan keselamatan kami telah bertindak dengan terkawal di sebalik pencerobohan dan provokasi berterusan.

“Rakyat Singapura amat cintakan keamanan tetapi saya memberi peringatan yang kuat agar penceroboh meninggalkan perairan Singapura.” Sehingga tengah hari semalam, sumber The Straits Times (ST) menyatakan masih terdapat tiga kapal Malaysia di perairan Singapura.

“Selama 20 tahun atau lebih, Angkatan Laut Republik Singapura dan Pengawal Polis Pantai telah meronda kawasan perairan wilayah Singapura di Tuas.

“Entah dari mana, kapal kerajaan Malaysia kini menuntut perairan itu milik mereka dan mereka terus menceroboh sejak November,” tambah Dr Ng.

Sementara itu, Malaysia semalam telah menyarankan agar negara itu dan Singapura berhenti daripada menghantar aset ke kawasan perairan yang dipertikaikan berkuat kuasa hari ini bermula 12 tengah malam tadi.

Ini bagi meredakan ketegangan yang berlaku antara kededua negara berhubung sempadan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura.

Saranan tersebut terkandung dalam kenyataan Menteri Ehwal Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, malam tadi.

Melalui usulan dibuat kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, beliau menyampaikan kenyataan itu sedang rancangan perbincangan diadakan bagi menangani isu perairan dekat Tuas yang menjadi pertikaian itu.

“Tindakan untuk menghentikannya akan dilaksanakan tanpa prejudis kepada kedudukan tuntutan sempadan maritim Singapura atau Malaysia mengenai kawasan yang dipersoalkan itu,’’ kata Datuk Saifuddin.

Malaysia menyarankan agar pertemuan diadakan pertengahan bulan ini.

Datuk Saifuddin menambah segala pertikaian harus ditangani melalui ‘semangat dialog dan kerjasama’.

Malaysia juga telah membantah keputusan Singapura untuk meluaskan had pelabuhan negara ini dekat Tuas. – Laporan tambahan IRMA KAMARUDIN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.