Penduduk Bt Panjang, Punggol cuba sistem lokar bagi pembelian dalam talian

Berita Harian - - MUKA DEPAN -

SERAMAI 78,000 keluarga di Bukit Panjang dan Punggol akan dapat mencuba sistem lokar terkini yang memberikan kemudahan bagi mereka mendapatkan barangan yang dipesan dalam talian.

Ujian percubaan itu, yang dikenali sebagai Pakatan Lokar (Locker Alliance), menyatukankan pengendali lokar, penyedia khidmat logistik dan laman pasaran elektronik dalam satu wadah yang saling beroperasi, menurut kenyataan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) semalam.

Dilancarkan Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pengangkutan) Dr Janil Puthucheary di Oasis Terraces di Punggol Drive, ia membolehkan rangkaian pengendali lokar yang berbeza berfungsi secara kolektif.

“Setiap orang yang membeli dan menjual sesuatu dalam talian sudah biasa dengan isu penghantaran di rumah.

“Melalui program Pakatan Lokar ini, kami mahu memudahkan pengguna mengambil barangan mereka, dan pada masa yang sama meningkatkan keberkesanan dan daya saing kos dalam penghantaran barangan,” ujar ketua pegawai eksekutif (CEO) IMDA, Encik Tan Kiat How.

Lokar itu akan dipasang di lebih 60 lokasi di dua estet tersebut dan dijangka diuji selama setahun. Ia boleh digunakan bila-bila masa sahaja.

Dengan peningkatan pembelian dalam talian, satu masalah yang timbul berlaku apabila pekerja penghantaran menghantar barangan dibeli pelanggan ke rumah tetapi pelanggan tiada di rumah.

Apabila dilaksanakan di seluruh Singapura, penyedia khidmat logistik akan melihat jarak dipandu pemandu syarikat logistik berkurangan sebanyak 50 peratus tetapi keberkesanan penghantaran bertambah baik – naik lima kali ganda.

IMDA akan menilai sama ada lebih banyak tempat akan diperkenalkan dengan lokar itu menyusuli pelancaran ujian tersebut.

Dalam pada itu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengumumkan ia telah bekerjasama dengan laman e-dagang Lazada bagi memanfaatkan Pakatan Lokar itu.

Peruncit di kawasan Oasis Terraces di Punggol akan dapat menjual barangan dalam talian dan pengguna boleh memperolehi barangan tersebut di lokar disediakan.

“Kami menyokong rangkaian Pakatan Lokar sejajar dengan visi kami meluaskan tawaran penghantaran kami dan memberikan pengalaman membeli-belah dalam talian lebih baik bagi pelanggan.

“Apabila dagangan elektronik berkembang, meluaskan rangkaian Pakatan Lokar ini menjadi pilihan penghantaran yang baik pada masa hadapan,” ujar CEO Lazada eLogistics Singapura, Encik Pierre de Bellescize.

KEMUDAHAN BAGI PENDUDUK: Dr Janil Puthucheary (kanan) membuka lokar di Locker Alliance, di Punggol semalam. – Foto BH oleh ALPHONSUS CHERN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.