15,000 flat BTO ditawar tahun depan

Berita Harian - - BERITA -

LEMBAGA Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan 15,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tahun depan.

Jumlah tersebut kurang sedikit daripada 15,800 flat yang ditawarkan tahun ini.

Flat baru juga akan ditawarkan di estet matang dan bukan matang termasuk Sengkang, Jurong West dan Kallang Whampoa bagi memenuhi keperluan perumahan warga Singapura yang rencam.

Sebanyak 2,000 flat baru juga akan dilancar di estet perumahan baru Tengah, yang membolehkan pembeli menikmati tempoh menunggu lebih singkat bagi mendapatkan kunci flat.

“Pembeli boleh menjangka mendapatkan kunci bagi flat itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari tempoh permohonan, berbanding tiga hingga empat tahun bagi kebanyakan projek BTO,’’ ujar HDB semalam.

Bulan lalu, kumpulan pembeli flat BTO pertama yang mempunyai tempoh menunggu lebih pendek ialah di Sembawang, Sengkang dan Yishun.

Bagi flat BTO itu, sebanyak 3,300 permohonan diterima bagi 1,100 flat yang ditawarkan.

Ini bermakna kadar permohonan ialah tiga kali lebih tinggi daripada bekalan.

Secara umumnya, HDB berkata kadar permohonan bagi pembeli kali pertama flat tiga bilik dan flat BTO lebih besar sejak dua tahun lalu kekal stabil, iaitu dua kali lebih tinggi daripada jumlah flat baru yang ditawarkan.

“Kebanyakan keluarga yang memohon flat BTO buat kali pertama di estet tidak matang berupaya menempah flat dalam percubaan pertama dan kedua, dan pastinya dalam percubaan ketiga,’’ kata HDB.

Sejak awal tahun ini, pembelian dan penjualan flat

HDB telah dipermudah dan dipercepat menggunakan Gerbang Jualan Semula HDB.

Gerbang itu memberikan kemudahan bagi pembeli dan penjual flat jualan semula, dengan tempoh urusan jual-beli dipendekkan dari 16 minggu kepada lapan minggu jika mereka menghantar dokumen yang perlu tepat pada waktunya.

Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Lawrence

Wong, memuatnaikkan video semalam bagi merumuskan segala usaha dijalankan sepanjang tahun ini bagi perumahan awam di Facebook.

“Kita mempunyai tahun yang sibuk bagi perumahan awam tahun ini, dengan inisiatif menjadikan flat HDB dimampui dan estet kita baik didiami.

“Tahun depan, kami akan melancarkan 15,000 flat baru di kawasan seperti Sengkang, Jurong West dan Tengah.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakyat Singapura bagi membina rumah lebih baik buat semua,’’ katanya.

TEMPOH LEBIH SINGKAT BELI FLAT ESTET TENGAH: Sebanyak 2,000 flat baru akan ditawarkan di estet perumahan Tengah tahun depan, yang membolehkan pembeli mendapatkan kunci sekitar dua hingga tiga tahun dari tempoh permohonan. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.