PBB: Dunia perlu gerak lebih pantas tangani perubahan iklim

Berita Harian - - WACANA -

KATOWICE (Poland): Dunia telah tersasar jauh dalam rancangannya untuk mencegah bencana ekoran perubahan iklim, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dalam sidang puncak COP24 yang dibuka rasmi dibuka di Poland baru-baru ini.

Menyusuli rangkaian laporan alam sekitar yang menunjukkan manusia harus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara drastik untuk menghindari pemanasan global, Encik Guterres memberitahu perwakilan “kita masih belum cukup melakukan sesuatu, atau tidak bergerak dengan cukup pantas”.

Hampir 200 negara yang menandatangani perjanjian iklim Paris pada 2015 mesti menyiapkan buku panduan mengehadkan kenaikan suhu global ke bawah 2 darjah C, dan ke tahap yang lebih selamat iaitu 1.5 darjah C, jika boleh.

Tetapi kadar perubahan iklim bergerak lebih cepat daripada respons manusia.

Dengan pemanasan hanya 1 darjah C setakat ini, bumi dibinasakan oleh kebakaran hutan, kemarau melampau dan taufan mega yang semakin buruk dengan peningkatan paras laut.

“Walaupun kita menyaksikan impak iklim yang menyebabkan kerosakan di seluruh dunia, kita masih belum melakukan usaha secukupnya, tidak bergerak dengan pantas, untuk mencegah gangguan bencana iklim yang tidak dapat dipulihkan,” kata Encik Guterres.

Bank Dunia akan memainkan peranannya untuk menangani perubahan iklim, kata ketua eksekutif Kristalina Georgieva.

Ia akan memberikan penekanan seimbang untuk mengawal pelepasan dan membantu negara-negara miskin menangani kesan pemanasan dunia.

Bank itu dan dua pertubuhan kecilnya merancang menggandakan pelaburan mereka dalam tindakan mengawal iklim kepada kira-kira AS$200 bilion ($273 bilion) dari 2021 hingga 2025, dengan rangsangan menyesuaikan diri dengan suhu yang lebih tinggi, cuaca yang tidak menentu dan paras laut yang semakin meningkat.

Perangkaan terbaru mengenai pembiayaan iklim bagi negara-negara membangun menunjukkan tidak sampai seperempat telah berusaha menyesuaikan diri, dengan sebahagian besar menyokong penggunaan tenaga bersih dan penggunaan tenaga yang lebih cekap, yang bertujuan mengurangkan pelepasan pemanasan planet.

Daripada AS$100 bilion, Bank Dunia merancang menyediakannya dalam tempoh lima tahun dari pertengahan 2020, separuh daripadanya akan diperuntukkan bagi langkah penyesuaian, katanya.

Ini termasuk membina prasarana yang lebih mantap, mempersiap petani menghadapi perubahan iklim, menguruskan soal air dan melindungi pendapatan rakyat menerusi rangkaian keselamatan sosial, kata Cik Georgieva.

Wang itu juga akan membaiki ramalan cuaca dan menyediakan amaran awal dan perkhidmatan maklumat iklim untuk 250 juta orang di 30 negara membangun.

“Perubahan iklim adalah ancaman eksistensi kepada golongan termiskin dan paling terdedah di dunia.

“Ini sasaran baru menunjukkan betapa seriusnya kita terhadap isu ini,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia Jim Yong Kim. – AFP, Reuters.

BINCANG ISU PEMANASAN GLOBAL: Isu iklim dan pemanasan global dibincangkan dalam sidang puncak COP24 di Katowice, Poland, pada 4 Disember 2018, oleh beberapa pemimpin termasuk (dari kiri) Menteri Luar Gabon Omar Bongo; Presiden Persekutuan Austria Alexander Van der Bellen; Setiausaha Eksekutif Perubahan Iklim PBB Patricia Espinosa; Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki; Timbalan Menteri Sekitaran Poland dan pengerusi COP24 Michal Kurtyka; Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres; dan Wakil Luxembourg Duke Henri. – Foto EPA–EFE

USUL PERCEPAT TANGANI PERUBAHAN IKLIM: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menggesa percepat langkah menangani perubbahan iklim bagi menghindari pemanasan global dan mengelak bencana. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.