Nora Danish harap timang anak perempuan pula tahun depan

Berita Harian - - GAH! -

SETELAH dikurniakan dua cahaya mata lelaki, pelakon Nora Danish sudah bersedia untuk menimang anak lagi tahun depan dengan harapan kali ini, dapat puteri.

Menurut isteri kepada Nedim Nazri itu lagi, beliau tetap mengimpikan cahaya mata perempuan, meskipun hidupnya kini sudah lengkap dengan dua orang cahaya mata.

“Anak kedua saya, Ney Ney atau Mohamed Neqayl Nedim, masih terlalu kecil, baru sembilan bulan.

“Rasanya tahun depan masa yang sesuai untuk menambah anggota keluarga, seorang lagi sudah memadai, apatah lagi jika dapat anak perempuan.

“Seronok melihat anak-anak membesar kerana masing-masing mempunyai karakter tersendiri. Ney Ney umpamanya, semakin tembam kerana begitu berselera makan,” cerita Nora, yang nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif.

Pelakon berusia 36 tahun itu menyifatkan dirinya bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang rajin dan sentiasa menghulurkan bantuan dalam menguruskan anak.

“Nedim pandai melayan kerenah anak-anak dan jika kami dikurniakan bayi perempuan, pasti rumah akan lebih meriah,” ujar Nora, yang menikah dengan Nedim pada Mac tahun lepas.

Pelakon cantik itu ditemui sewaktu majlis pelancaran produk Oh Most Wanted di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur Rabu lalu.

Selain Neqayl, Nora turut dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, sembilan tahun, hasil perkahwinan pertamanya dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Bercakap pula tentang kerjaya beliau sebagai seorang pelakon, Nora, yang kebelakangan ini agak jarang muncul di kaca televisyen mahupun layar perak, berkata beliau lebih banyak memberi perhatian kepada keluarga selain perniagaan.

Nora, yang mula dikenali menerusi drama bersiri Puteri, turut berkata dirinya kini juga semakin selektif selain mahukan watak yang mencabar diri kerana inginkan kelainan dalam kerjaya lakonannya. – BHM.

MAHUKAN ANAK PEREMPUAN: Walaupun Nora Danish (tengah) sudah bahagia bersama suaminya Nedim Nazri (bercermin mata) dan dua orang anak kandungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram (paling kiri) dan Mohamed Neqayl Nedim (dua dari kiri), beliau masih mengharapkan kehadiran seorang puteri dalam hidupnya. Bersama mereka ialah anak tiri Nora, Mohamed Nedrin (depan, paling kanan). – Foto INSTAGRAM NORA DANISH

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.