Pedal kokpit terputus punca helikopter Vichai terhempas

Berita Harian - - SUKAN -

“Helikopter berkenaan hilang kawalan akibat alat kawalan rotor terputus. Pesawat berkenaan mula berpusing ke bahagian kanan sebelum terhempas.” – kata laporan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB).

LONDON: Pedal kokpit yang terputus merupakan punca kemalangan helikopter yang membunuh hartawan Thailand dan juga pemilik kelab bola sepak Leicester City dan empat yang lain pada 28 Oktober lalu, menurut laporan siasatan yang dikeluarkan Britain semalam.

Kematian Vichai Srivaddhanaprabha mengejutkan masyarakat sukan sedunia dan bandar kecil di England itu telah berkabung selama dua hari.

Helikopter tersebut, yang dihiasi warna pasukan biru dan putih, berputar dan tidak dapat dikawal sejurus selepas ia berlepas meninggalkan bumbung stadium.

Vichai selalunya menghadiri perlawanan pasukan tersebut yang diadakan di sana, dan akan berlepas dan mendarat di tengah-tengah padang.

Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) berkata beberapa pedal kokpit tidak terhubung kepada rotor pada bahagian belakang helikopter.

“Helikopter yang tidak dapat dikawal itu berpunca dari alat kawalan penggerak pemutar di ekor helikopter yang terputus daripada mekanisme penggerak,” menurut laporan AAIB.

Akibatnya, helikopter tersebut kemudian berputar ke kanan dan tidak dapat dikawal.

AAIB berkata ia sedang mengutamakan siasatan lanjut terhadap punca pedal yang terputus itu.

Pihak berkuasa keselamatan penerbangan Eropah telah mengarahkan pemeriksaan wajib terhadap jenis helikopter yang terlibat, namun hingga kini tidak menemui sebarang masalah.

Vichai berjaya mengambil alih kelab Leicester City dan merubah nasib pasukan tersebut sehingga meraih kejuaraan Liga Perdana England (EPL) bagi musim 2015-2016.

Ketika itu, ramai pemerhati mengatakan perkara sedemikian sukar dicapai.

Beliau begitu disayangi peminat dan bandar Leicester kerana penglibatannya melakar antara kisah paling luar biasa dalam bola sepak moden dengan kemenangan EPL musim itu.

Laporan Herald Scotland menyatakan Vichai dilahirkan di Bangkok pada 4 April 1958, dan dibesarkan dalam keluarga kacukan Thai-Cina.

Kekayaan beliau kini dianggarkan bernilai £3.9 bilion ($6.82 bilion), menjadikannya orang kelima terkaya di Thailand. – AFP

PUNCA NAHAS: Hasil siasatan kerajaan Britain mengesahkan pedal kokpit yang terputus adalah punca nahas helikopter yang mengorbankan pemilik kelab bola sepak Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, pada 28 Oktober lalu. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.