Liverpool kecundang lagi

Berita Harian - - SUKAN -

WOLVERHAMPTON: Liverpool tersingkir daripada Piala FA setelah mengalami kekalahan 2-1 di tangan Wolverhampton Wanderers dini hari semalam di Stadium Molineux.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengambil keputusan menyenaraikan barisan yang terdiri daripada pemain bukan pilihan utama, termasuk tiga pemain muda. Keputusan tersebut terbukti membawa padah kepada pasukannya.

Jaringan daripada Raul Jimenez dan Ruben Neves di separuh masa kedua, meletakkan pasukan tuan rumah di kedudukan selesa untuk melangkah ke pusingan keempat.

Liverpool menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi penyerang Belgium, Divock Origi namun ia tidak bertahan setelah Neves kembali meletakkan Wolves di hadapan empat minit kemudian.

Klopp membuat sembilan perubahan pada barisan permulaannya yang mengalami kekalahan pertama mereka di Liga Perdana England musim ini setelah ditewaskan juara bertahan, Manchester City, Khamis lalu.

Hanya James Milner dan Dejan Lovren yang mengekalkan tempat mereka, namun Lovren terpaksa digantikan dengan pemain muda berusia 16 tahun, Ki-Jana Hoever, enam minit selepas perlawanan bermula akibat kecederaan.

Dua lagi muka baru, Rafael Camacho dan Curtis Jones turut diberikan penampilan sulung mereka, namun kesilapan pemain paling berpengalaman Liverpool, Milner, yang membuka peluang untuk Wolves membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi Jimenez.

Tanpa Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane, Liverpool mengalami kesukaran mengatur serangan di separuh masa pertama.

Namun gol yang dinanti-nantikan Liverpool akhirnya tiba enam minit selepas separuh masa kedua bermula setelah Origi menyumbat bola yang gagal diselamatkan John Rudy.

Bagaimanapun, Wolves telah menjadikan satu kebiasaan musim ini untuk menyukarkan lagi perjuangan enam pasukan teratas di EPL.

Selepas menewaskan Chelsea dan Tottenham dan seri dengan City, Manchester United dan Arsenal di EPL, Wolves kini boleh menambah Liverpool dalam senarai pasukan yang berjaya diperdayakan mereka berkat jaringan hebat Neves.

Klopp cuba mengubah nasib pasukannya dengan memasukkan Salah dan Firmino, 20 minit sebelum akhir perlawanan. Namun penyertaan dua penggempur utama Liverpool itu gagal mencetuskan perjuangan semula.

Dengan Liverpool, yang turut disingkirkan dari Piala Liga, Klopp mempunyai tugas berat untuk memastikan pasukannya mengakhiri musim ini tanpa tangan kosong dengan merangkul kejuaraan EPL pertama mereka sejak 29 tahun ataupun menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Dalam kejutan yang lain, pasukan liga empat England, Newport County berjaya menewaskan Leicester City 2-1 sekali gus mencatatkan kemenangan manis kelmarin.

Leicester bagai sudah pasti akan pulang daripada stadium lawan dengan keputusan seri selepas menyaksikan pemain sayap mereka, Rachid Ghezzal menyamakan kedudukan pada minit ke-82 bagi membatalkan gol pembukaan Jamille Matt di minit ke-10.

Namun, lima minit sebelum tamat perlawanan, Newport diberikan penalti setelah pemain sayap Leicester, Marc Albrighton didapati menyentuh bola dengan tangan.

Padraig Amond memastikan peluang itu tidak disia-siakan dan jaringan beliau mencetuskan keadaan riuh-rendah di stadium Rodney Parade.

“Ia satu keputusan yang tidak dapat kami bayangkan pada masa ini,” kata Matt kepada BBC selepas kemenangan pertama Newport di pertandingan itu menentang kelab teratas sejak mereka mengalahkan Sheffield Wednesday di pusingan ketiga pada musim 1963/64.

“Kami semua berjuang untuk satu sama lain dan kami berhak mendapatkan kemenangan ini. Kami tahu bahawa untuk mendapatkan keputusan yang baik, kami perlu berada pada tahap terbaik.” – AFP.

KALAH LAGI: Dengan kekalahan di tangan Wolves dalam Piala FA semalam, Liverpool kini mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas dengan City baru-baru ini. – Foto EPA-EFE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.