Bilangan kes denggi meningkat, warga diingatkan berwaspada

Berita Harian - - BERITA -

JUMLAH kes denggi telah meningkat dalam tempoh tiga minggu lalu berturut-turut, dengan sebanyak 207 kes dilaporkan pada minggu pertama 2019, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Tahun lalu, sebanyak 3,285 kes denggi dilaporkan – hampir 20 peratus lebih tinggi dari 2017.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, NEA berkata faktor yang menyumbang kepada jumlah yang meningkat itu serta masalah yang menimbulkan keprihatinan adalah populasi nyamuk Aedes aegypti yang semakin meningkat.

Sistem pengawasan ‘gravitrap’ NEA mendapati 40 peratus lebih banyak nyamuk Aedes aegypti Disember tahun lalu, berbanding Disember 2017.

NEA memantau bilangan nyamuk di sini menerusi penggunaan ‘gravitrap’ – sebuah alat silinder hitam – yang ditempatkan di sepanjang koridor bangunan kediaman.

“Jika dibiarkan, jumlah nyamuk itu mungkin mengakibatkan kes denggi yang semakin meningkat tahun ini. Untuk itu, NEA menggesa kesemua anggota masyarakat dan pihak-pihak berkepentingan untuk terus berwaspada dan bekerjasama untuk menghentikan penularan denggi,” tambah NEA.

Antara tanda-tanda seorang individu menghidapi denggi ialah demam selama dua hingga tujuh hari, sakit kepala dengan kesakitan di belakang mata, sakit sendi, rasa mual, muntah, berdarah di hidung atau gusi dan ruam.

Tahun lalu, NEA menjalankan sekitar satu juta pemeriksaan bagi pembiakan nyamuk termasuk 9,000 pemeriksaan di tapak-tapak binaan dan ia mendapati terdapat sebanyak 18,000 tempat pembiakan.

Sehingga November tahun lalu, sebanyak 4,100 rumah didenda kerana pembiakan nyamuk. Sebanyak 40 arahan berhenti kerja dikeluarkan di tapak-tapak binaan.

Bagi melindungi keselamatan awam, NEA berkata ia tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap kontraktor dan penduduk yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk di premis mereka.

NEA akan mengambil tindakan tegar terhadap mereka yang mengulangi kesilapan itu.

Bagi memastikan pembiakan denggi itu terkawal, NEA menjalankan langkah mengurangkan sumber pembiakan itu dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Bersama anggota Pasukan Denggi Antara Agensi serta Majlis Perbandaran, NEA akan meneruskan usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dari kawasan awam dan estet perumahan.

Langkah menghapuskan pembiakan denggi memerlukan penyertaan semua pihak dalam masyarakat, kata NEA.

NEA menggalak semua anggota awam untuk memainkan peranan dalam menghalang dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Usaha sedemikian akan juga menghalang virus Zika dan Chikungunya, tambahnya.

AGAR TERUS BERINGAT: Sebuah sepanduk menunjukkan amaran denggi tertinggi yang diletakkan di depan Blok 139 Bedok Reservoir Road pada awal minggu lalu. – Foto BH oleh ROEWA ANG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.