FairPrice: Tiada maklum balas ada objek tajam di buah salak

Berita Harian - - BERITA -

PASAR raya FairPrice menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang maklum balas daripada pelanggan mengenai objek tajam yang dijumpai dalam buah salak yang dijual di kedai mereka.

Ini setelah seorang pelanggan mendakwa terjumpa jarum dalam paket yang dibeli dari cawangan di Jurong East.

Pengguna Facebook Soh Chongleng memuat naik pos mengenai kejadian itu pada Isnin lalu dan mengongsi gambar objek berbentuk jarum dalam buah salak yang sudah dikupas, lapor The Straits Times.

Encik Soh berkata beliau telah membeli satu peket buah salak dari FairPrice Xtra di Jurong East dan menyedari objek tajam itu sejurus sebelum memakannya.

Namun posnya sudah dipadamkan daripada Facebook.

Dalam satu kenyataan semalam, jurucakap FairPrice menjemput Encik Soh untuk menghubungi mereka untuk memberi lebih maklumat bagi siasatan.

“Kami mengambil serius isu mutu dan keselamatan produk,” kata jurucakap itu.

Beliau menambah bahawa pihaknya belum menerima sebarang maklum balas serupa daripada pelanggan lain bagi produk tersebut.

Jurucakap itu juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan yang mungkin boleh menimbulkan kecemasan yang tidak perlu di kalangan penduduk.

Buah salak berasal dari pulau Jawa dan Sumatra di Indonesia, walaupun kini buah itu juga ditanam di bahagian lain di Asia Tenggara.

FairPrice berkata pelanggan boleh menghubungi talian mereka di 6552-2722 atau mengirim e-mel ke [email protected] jika mereka memerlukan bantuan.

Jarum pernah dilaporkan dijumpai di buah lain yang dijual di tempat lain.

Pada 1 Januari lalu, pasangan Melbourne menjumpai dua jarum dalam anggur yang dibeli daripada pasaraya Australia Woolsworths, menurut laporan media.

Polis mengesahkan mereka sedang menyiasat kejadian itu.

Di Australia pada akhir tahun lalu, terdapat kecemasan di seluruh negara, setelah jarum menjahit ditemui tersembunyi dalam ratusan strawberi yang ditanam di negara itu.

Pasar raya terpaksa menarik balik kotak-kotak daripada rak-rak serata Australia dan New Zealand, dan petani pula terpaksa membuang tanaman mereka.

Seorang bekas penyelia pertanian, My Ut Trinh, 50 tahun, yang bekerja di pertanian strawberi yang menghasilkan produk itu didakwa dengan tujuh tuduhan berkaitan barangan tercemar oleh polis Queensland November lalu.

JARUM DI BUAH?: Pengguna Facebook, Encik Soh Chongleng, mengongsi gambar objek berbentuk jarum yang dijumpai di buah salak yang sudah dikupas. – Foto LIANHE WANBAO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.