S’pura antara 16 negara disenarai Juara Inovasi 2019

Berita Harian - - BERITA -

SINGAPURA merupakan antara 16 negara di dunia yang disenaraikan sebagai Juara Inovasi 2019 oleh Persatuan Teknologi Pengguna (CTA).

Ia menduduki tangga kelima daripada senarai itu yang merangkumi 61 negara.

CTA menganjurkan Pameran Elektronik Pengguna, yang merupakan antara pameran dagangan elektronik pengguna tahunan terbesar di dunia.

Di kedudukan pertama ialah Estonia, disusuli Switzerland, Finland dan Amerika Syarikat.

Singapura diberi markah tinggi di atas pelbagai sebab seperti negara ini menjadi yang pertama menguji teksi pandu sendiri.

CTA, dalam kenyataannya juga menyatakan negara ini meluluskan garis panduan jelas bagi khidmat pengendali pengangkutan yang dikongsi yang membantu membaiki gred negara ini daripada C kepada B.

Selain itu, separuh daripada tenaga buruh Singapura ‘amat mahir’ dan hampir separuh merupakan lulusan universiti dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Ini membolehkan firma-firma baru berupaya menarik bakat-bakat mahir.

Negara ini juga dapat menarik kadar kemasukan perniagaan baru yang tinggi iaitu lapan bagi setiap 1,000 orang dan kadar cukai korporatnya merupakan antara terendah di dunia. Khidmat penstriman juga tidak dikenakan cukai.

Selain itu, kos jalur lebar tetap bulanan negara ini iaitu 0.5 peratus daripada pendapatan negara kasar (GNI) per kapita – adalah rendah berbanding negara seperti Australia (1.1 peratus) dan New Zealand (1.8 peratus).

Singapura juga amat menonjol dari segi pendekatannya dalam menerima dron, kata CTA.

Tahun lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (Caas) dan JTC Corporation mengumumkan rancangan memperkenalkan inisiatif penyelidikan dron baru.

Menurut CTA, negara ini boleh membaiki beberapa bidang seperti menarik balik syarat sewa rumah privet sehingga tiga bulan dan mengurangkan denda bagi pemilik rumah yang menyewakan rumah mereka dalam jangka pendek seperti khidmat Airbnb.

Negara lain dalam senarai 16 Juara Inovasi itu termasuk Australia, Canada, Denmark, Jerman, Israel, Luxembourg, Belanda, New Zealand, Norway, Sweden dan Britain.

Selain 16 Juara Inovasi, baki negara lain yang dinilai termasuk 23 negara seperti Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.