Trump dakwa krisis kemanusiaan meningkat di sempadan AS-Mexico

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

WASHINGTON: Presiden Donald Trump kelmarin memberi gambaran krisis kemanusiaan dan keselamatan semakin meningkat di sempadan selatan Amerika Syarikat, semasa merayu secara langsung kepada rakyat Amerika agar menyokong pembinaan tembok sempadan, dasar punca satu perselisihan politik yang menyebabkan pemerintah negara itu terus ditutup selepas 18 hari.

Tetapi pemimpin Demokrat dengan segera menjawab, dengan Speaker Dewan Nancy Pelosi menolak krisis itu sebagai cerita yang sengaja diadakan-diadakan dan menyifatkan kenyataan Encik Trump penuh dengan maklumat salah, sambil menuduh beliau menjadikan pemerintah tebusan “berhubung obsesinya hendak memaksa pembayar cukai Amerika membazirkan berbilion dolar bagi sebuah tempok mahal dan tidak berkesan”.

Dalam ucapan Pejabat Oval pertama beliau kepada seluruh negara, Encik Trump berhujah sempadan Amerika-Mexico menjadi saluran bagi sejumlah besar dadah haram dan beribu-ribu pendatang tanpa izin – yang kedua-duanya membahayakan dan membunuh rakyat Amerika.

“Berapa banyak lagi darah rakyat Amerika harus mengalir sebelum Kongres melakukan tugasnya?” kata Encik Trump.

Beliau mengulangi permintaannya untuk mendapatkan AS$5.7 bilion ($7.7 bilion) daripada Kongres bagi membina penghalang fizikal di sempadan, dengan berkata bahawa satu-satunya huraian itu ialah dengan Demokrat meluluskan rang undang-undang perbelanjaan yang akan mempertahankan sempadan Amerika dan membuka semula pemerintahan negara itu.

“Pemerintah federal masih ditutup hanya kerana satu sebab dan satu sebab sahaja: Demokrat tidak mahu membiayai keselamatan sempadan,” kata Encik Trump dalam ucapan yang menceritakan kisah mangsa tidak bersalah pendatang asing dan dakwaan bahawa wanita dan kanak-kanak yang dicederakan oleh pemerdagang manusia.

Beliau juga berhujah bahawa perbelanjaan tembok sempadan berjumlah AS$5.7 bilion itu akan “dengan cepat ditampung projek itu sendiri” kerana kos dadah haram melebihi AS$500 bilion setahun, dan juga secara tidak langsung oleh Perjanjian Perdagangan Amerika-Mexico-Canada (USMCA) baru.

Pengesah fakta daripada media seperti Washington Post dan New York Times kemudian sama memaparkan sebagai palsu, menjelaskan atau memberi konteks kepada banyak perkara yang dikatakan Encik Trump.

Dalam responsnya sejurus selepas Encik Trump berucap, Cik Pelosi berkata:

“Presiden memilih menakut-nakutkan. Kami mahu bermula dengan fakta.”

Beliau berkata Demokrat bersetuju mengenai keperluan menjamin sempadan Amerika dan ahli Dewan daripada parti itu telah meluluskan perundangan pada hari pertama Kongres pada 3 Januari lalu untuk membuka semula pemerintah dan membiayai hurian keselamatan sempadan, tetapi Presiden Trump menolaknya.

Ketua minoriti Senat, Encik Chuck Schumer, pula berkata: “Presiden Amerika Syarikat – setelah gagal membuat Mexico membayar bagi tembok sempadannya yang tidak berkesan dan tidak dapat meyakinkan Kongres atau rakyat Amerika supaya membayar bil pembinaan tembak itu – menutup pemerintah.

“Demokrasi Amerika tidak berfungsi seperti itu. Kita tidak mentadbir dengan membuat perangai. Tidak ada presiden harus menumbuk meja dan menuntut beliau harus mendapat kehendaknya dan jika tidak pemerintah akan dututup, lantas menyakiti jutaan rakyat Amerika yang dijadikan alat.”

Encik Trump berkata beliau telah menjemput kepimpinan Kongres ke Rumah Putih pada petang Rabu (pagi Khamis waktu Singapura) untuk mengadakan pertemuan bagi menghuraikan keadaan sebelum beliau melakukan lawatan ke sempadan esoknya. – The Straits Times.

GESA RAKYAT SOKONG PEMBINAAN TEMBOK DI SEMPADAN: Encik Oswaldo Hernandez menonton ucapan Presiden Donald Trump kepada seluruh negara dari Pejabat Oval. – Foto EPA–EFE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.