Inisiatif baru bantu SME laksana huraian digital asas

‘Start Digital’ boleh dimanfaatkan tanpa bayaran sekurang-kurangnya selama 6 bulan; Skim diperkenal bersama oleh Enterprise Singapore dan IMDA

Berita Harian - - BERITA -

SATU inisiatif baru, Start Digital, diperkenalkan bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) baru melaksanakan huraian digital asas seperti sumber manusia (HR) dan perakaunan dalam tahap permulaan perniagaan mereka, dengan kos ditiadakan sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Ia merupakan antara usaha bagi memacu SME ke arah pendigitalan bagi menyokong pertumbuhan mereka.

Start Digital, diperkenalkan bersama oleh Enterprise Singapore dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), di bawah program SME Go Digital.

Ia menyasarkan keperluan SME baru dengan menawarkan mereka pakej huraian digital asas yang mudah digunakan, bermodul dan dimampui. Dari hari pertama, SME hanya perlu ‘pasang dan pakai’ (plug and play) huraian itu.

SME boleh mencuba dua huraian digital, yang kosnya ditiadakan sekurang-kurangnya enam bulan. Huraian itu termasuk perakaunan, tenaga manusia (HR) urusan digital, wadah pemasaran digital dan keselamatan siber.

Mengumumkannya dalam satu sesi rangkaian industri semalam, Menteri Perhubungan dan Penerangan Encik S. Iswaran berkata berdasarkan maklum balas hasil interaksi dengan pemilik SME, kebanyakan mereka merasakan ia lebih baik melaksanakan huraian digital asas dalam tempoh awal perniagaan mereka.

“Ini kerana ia agak sukar menukar kepada huraian digital apabila syarikat melaksanakan sistem manual dan proses tradisional,’’ ujarnya, dalam kenyataannya.

Program SME Go Digital telah diperkenalkan dua tahun lalu bagi membantu syarikat mendakap peluang teknologi digital.

“Kita telah menunjukkan kemajuan yang baik. Sejak dilancarkan, hampir 3,000 SME telah memanfaatkan huraian digital di bawah program itu.

“Kita ingin memacu ke hadapan lagi. SME merangkumi majoriti perniagaan di Singapura. Sedalam dan kepantasan masa usaha pendigitalan mereka akan merombak ekonomi,’’ jelas Encik Iswaran.

IMDA dan ESG juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti bank dan telekomunikasi seperti DBS, OCBC, UOB, Singtel dan StarHub agar membolehkan SME baru bermohon mendapatkan pakej digital, Start Digital, pada masa sama mereka mendapatkan khidmat bank dan telekomunikasi.

Selepas tempoh enam bulan, SME akan membayar berdasarkan bayaran dikenakan syarikat-syarikat telekomunikasi dan bank itu.

Untuk layak mendapatkan inisiatif Star Digital, sekurang-kurang 30 peratus perkongsian dimiliki pemilik tempatan dan pendapatan SME tidak lebih dari $100 juta. Syarikat juga perlu mempunyai pekerja kurang 200 orang.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Perniagaan UOB, Encik Mervyn Koh, berkata memulakan perniagaan adalah amat menarik tetapi proses yang sukar.

“Melabur dalam huraian digital sering menjadi di belakang fikiran mereka kerana mereka menimbangkan ia satu pilihan yang mahal bagi perniagaan tahap awal yang ingin tumbuh.

“Namun, pemilik perniagaan kecil harus sedar mereka mempunyai huraian menawarkan mereka kelonggaran membayar apa yang mereka gunakan,’’ ujarnya.

UOB, misalnya, mempunyai UOB BizSmart yang memberikan akses percuma bagi peniaga kecil huraian perniagaan bersepadu berdasarkan sofwe berasaskan perawanan.

USAHA SAMA SEKTOR SWASTA DAN AWAM: Encik Iswaran (tiga dari kiri) bersama wakil syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan IMDA iaitu Dr John Lee, CEO Maybank Singapore; Encik Samuel Tsien, CEO OCBC; serta Encik Bill Chang, CEO Kumpulan Perniagaan Singtel; selepas pelancaran tiga inisiatif digital bagi syarikat semalam. – Foto MCI

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.