Peluang dalami ilmu teknologi pertanian moden di Republic Poly

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - IRMA KAMARUDIN [email protected]

MEREKA yang ingin mendalami ilmu teknologi pertanian moden kini boleh melakukannya di bawah satu Program Bekerja dan Belajar (ELP) SkillsFuture baru yang dilancarkan di Politeknik Republic (RP) semalam.

Program pengajian sambilan itu akan melengkapi peserta dengan pengetahuan dan teknik pertanian moden dalam usaha membina bakat setempat untuk memacu perkembangan sektor tersebut di sini.

Bakal bermula pada Jun ini, pelajar akan meraih Diploma dalam Sains Kegunaan (Teknologi Pertanian Moden) – kelayakan diploma dalam teknologi pertanian penuh yang pertama di Singapura – setelah selesai mengikuti lima modul.

Mereka akan belajar tentang teknologi pertanian bagi penghasilan makanan, proses dan pengurusan perkebunan, teknologi dan sistem perkebunan moden, perniagaan tani dan perkebunan mapan.

Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan) Dr Koh Poh Koon, yang hadir selaku tetamu terhormat di majlis pelancaran diploma itu, berkata sebagai sebuah negara kecil, Singapura mempunyai ruang tanah yang terhad bagi penghasilan makanan dalam negeri.

Bahkan, negara ini mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya dari luar negara.

Bagaimanapun, isu seperti pemodenan yang menukar tanah ladang menjadi bandar di sekitar dunia dan perubahan iklim yang menyebabkan cuaca melampau, menimbulkan keprihatinan sejagat tentang bagaimana menghasilkan makanan untuk lebih ramai orang atas tanah yang kurang suai bagi pertanian.

Justeru, Dr Koh berkata teknologi membuka peluang untuk membangunkan kaedah dan produk perkebunan baru demi menangani ketidakseimbangan dalam bekalan dan permintaan yang semakin meningkat.

Beliau menambah bahawa Singapura berada dalam kedudukan baik untuk menjadi sebuah hab Asia utama bagi teknologi pertanian moden dan akuakultur (amalan penternakan dan pemeliharaan hidupan laut dan rumpai laut secara terkawal) moden.

Dr Koh berkata negara ini mempunyai keupayaan dalam kimia istimewa, biologi, pengurusan tenaga dan buangan, dan automasi serta robotik.

“Kita boleh menjadi rumah kepada kebun moden berteknologi tinggi yang bukan hanya menghasilkan makanan segar, berkhasiat, malah juga membangunkan teknologi dan sistem yang boleh membantu mengubah perkebunan di seluruh rantau ini,” kata beliau.

ELP itu, yang dibangunkan RP dengan konsultasi bersama Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) dan rakan industri, disediakan dalam format ELP dan bukan ELP.

Format ELP ditawarkan kepada lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) baru yang ingin mendalami kemahiran dan pengetahuan yang diraih di sekolah bagi kerjaya dalam sektor pertanian.

Format bukan ELP pula ditawarkan kepada pelajar dewasa yang ingin menukar atau memajukan kerjaya dalam sektor teknologi agroteknologi dan perniagaan tani.

Selain pelancaran diploma itu, RP melancarkan sebuah Makmal Teknologi Pertanian baru di kampusnya.

Pengetua dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RP, Encik Yeo Li Pheow, berkata kemudahan baru itu menampilkan sistem perkebunan moden yang digunakan dalam industri, membolehkan pelajar meraih pengalaman pembelajaran amali dalam sekitaran perkebunan dalam bangunan berteknologi tinggi.

“Kami yakin kemudahan ini, yang ditambahkan dengan pedagogi pembelajaran kami, akan menggalak pelajar mendalami kemahiran dalam sistem dan teknik standard industri yang semakin berkembang,” kata beliau.

RP turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Persekutuan Perusahaan Agro-Makanan Singapura (SAFEF) semalam.

MOU itu merasmikan kerjasama strategik RP dengan SAFEF dan industri perkebunan untuk menyokong latihan, penyelesaian masalah dan mewujudkan peluang untuk membangunkan kepakaran bagi mengubah sektor pertanian.

TEKNOLOGI TINGGI: Pengerusi program diploma dalam sains marin dan akuakultur, Dr Steven Fong (kiri), menjelaskan sistem perkebunan moden yang ditampilkan dalam Makmal Teknologi Pertanian Politeknik Republic semasa kunjungan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan) Dr Koh Poh Koon semalam. Turut bersama mereka ialah Encik Yeo Li Pheow (kanan). – Foto BH oleh JASMINE CHOONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.