Cemerlang peperiksaan IB, ditawar ke sekolah drama, tarian terbaik Britain

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SEJAK kecil lagi, Syed Harris Salim Albar sering diajak ibunya untuk menonton persembahan teater.

Beliau masih ingat lagi antara persembahan teater pertama yang pernah disaksikannya ialah “Hansel and Gretel”

Daripada sekadar menjadi penonton biasa, minat Syed Harris terhadap lakonan bersifat teater mula berputik sehingga ibunya, Cik Eliana Mohtar, 49 tahun, mula memasukkan anak bongsunya ke kelas teater kelolaan Act 3.

Lantaran itu tidak hairanlah jika Syed Harris, 18 tahun, memilih untuk mendalami teater semasa menuntut di Sekolah Seni Singapura (Sota).

Beliau yang mengikuti Program Berkaitan Kerjaya International Baccalaureate (IB) baru sahaja menerima keputusan IB minggu lalu.

Anak bongsu dua beradik ini meraih markah penuh 7 bagi subjek ekonomi yang diambilnya pada peringkat biasa.

Sementara itu, beliau meraih markah 6 bagi subjek teater yang diambilnya pada peringkat tinggi dan Bahasa Melayu yang diambilnya pada peringkat biasa.

Secara keseluruhan, beliau meraih markah 19 daripada markah penuh 21.

Menceritakan pilihannya mempelajari teater di Sota, menurutnya memang sesuatu yang beliau dambakan sejak di Sekolah St. Stephen lagi.

“Saya mahu menggunakan teater bagi menyampaikan sesuatu mesej yang mungkin dianggap berat tetapi disampaikan dalam suasana dan gaya yang santai dan bersahaja.

“Justeru saya memilih menjadikan bidang teater kerjaya saya,” kongsinya.

Beberapa isu sosial yang ingin beliau kupas melalui teater termasuk isu berkaitan mobiliti sosial, penyalahgunaan dadah, dan ketaatan pada ibu bapa.

Malah, bagi persembahan akhir di mana prestasinya diambil kira, Syed Harris meneroka isu buli dalam penerbitan kanak-kanak berjudul “Which way? This way!”

Di samping itu, Syed Harris juga pernah bekerjasama dengan badan kemanusiaan seperti Mercy Relief dengan kerjasama Citi-YMCA ‘Youth for Causes’ untuk mengumpul dana bagi mereka yang kurang bernasib baik.

Anak kepada pengurus penjualan dan guru sekolah ini telah menerima tawaran melanjutkan pelajarannya di East 15, salah sebuah sekolah drama dan tarian terbaik di Britain.

“Mengikuti laluan IB merupakan sesuatu pilihan yang tidak pernah saya kesal.

“Ini kerana kebanyakan subjek yang kami ikuti memerlukan saya menjadi seorang pemikir yang kritikal.

“Yang penting sekali, ia memerlukan saya mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari dengan kehidupan sebenar. Ini amat membantu dalam saya mencorak dan membentuk idea menarik bagi setiap persembahan teater yang perlu saya lakarkan,” katanya positif.

“Mengikuti laluan IB (International Baccalaureate) merupakan sesuatu pilihan yang tidak pernah saya kesal. Ini kerana kebanyakan subjek yang kami ikuti memerlukan saya menjadi seorang pemikir yang kritikal.” – Syed Harris Salim Albar.

TEATER BERI INSPIRASI: Syed Harris Salim Albar mahu menjadikan menyelitkan mesej penting dalam setiap pementasan teater yang diterbitkannya. – Foto-foto BH oleh NG SOR LUAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.