Keuntungan operasi SPH naik 7.6%

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

KEUNTUNGAN operasi bagi kumpulan Singapore Press Holdings (SPH) naik 7.6 peratus kepada $74.8 juta bagi suku pertama yang berakhir 30 November tahun lalu.

Menurut kenyataan SPH semalam, kelakonan itu didorong perbelanjaan operasi yang lebih rendah iaitu $183.9 juta, yang turun $13.8 juta atau 7 peratus disebabkan tiada kos pemberhentian kerja.

Namun keuntungan bersih lebih rendah bagi suku pertama selepas sumbangan daripada pelaburan susut setelah sebahagian portfolio kewangan dan pelaburan dijual pada Ogos tahun lalu.

Keuntungan bersih susut $3.9 juta atau 6.3 peratus, mencapai $57.9 juta bagi suku pertama berakhir 30 November tahun kewangan 2019, menurut kenyataan SPH semalam.

SPH juga melaporkan keuntungan operasi bagi perniagaan media meningkat $4.1 juta atau 14.7 peratus disebabkan ketiadaan kos pemberhentian pekerja yang dicatatkan dalam tempoh sama setahun lalu.

SPH menyatakan kadar kemerosotan pendapatan iklan percetakan sebanyak 7.2 peratus adalah yang terendah sejak empat suku tahunan lalu dan pendapatan pengiklanan digital menikmati pertumbuhan dua angka sebanyak 12.9 peratus.

Pendapatan perniagaan media susut $11.8 peratus atau 6.8 peratus, mencapai $162.1 juta.

Secara keseluruhan, pendapatan digital termasuk gerbang digital dan klasified dalam talian terus tumbuh kukuh sebanyak 10.1 peratus.

Dalam pada itu, pendapatan daripada segmen hartanah meningkat 11.1 peratus, mencapai $68 juta.

Ia didorong daripada sumbangan 5.2 peratus atau $2.1 juta hasil sumbangan $3.2 juta daripada portfolio penginapan pelajar di Britain yang dibeli pada September 2018.

Segmen hartanah menyumbang hampir 55 peratus kepada keuntungan kumpulan, lantas memberikan pendapatan yang stabil bagi SPH.

SPH sedang aktif meneroka beberapa rancangan untuk menambah aset penginapan pelajar di Britain dengan beberapa urusan itu “sedang dalam tahap rundingan lanjut”, ujar kenyataan SPH.

Menyusuli pelaburan di UK, SPH juga melaksanakan usaha penjenamaan dan perkembangan strategi pemasaran bagi perniagaan penginapan pelajar.

Rancangan mengembangkan aset itu kepada portfolio yang besar sedang dijalankan, kata SPH.

“Perniagaan media dalam bahagian cetak terus lemah sedang kami mengembangkan pendapatan daripada perniagaan digital. Kami menunjukkan kemajuan dalam meningkatkan pendapatan berulang daripada segmen hartanah hasil sumbangan awal aset perumahan pelajar Britain dan menjangkakan sumbangan lebih tinggi pada masa depan,’’ kata Encik Ng Yat Chung, ketua pegawai eksekutif (CEO) SPH.

Dalam bidang hartanah, SPH dan syarikat Jepun, Kajima Development membuat pelancaran awal unit kondominium, The Woodleigh Residences, pada November lalu.

Sekitar 55 peratus daripada 50 unit yang dilancarkan berjaya dijual pada harga purata lebih $2,000 bagi setiap kaki persegi (psf). Pelancaran rasmi dijangka diadakan Mac ini.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan berulang, SPH turut bekerjasama dengan Kajima Development bagi membida sebuah tapak yang akan dibangunkan menjadi projek bersepadu meliputi perumahan dan komersial. Ia dilancarkan bagi penjualan di bawah senarai yang sudah disahkan di bawah penjualan tanah pemerintah (GLS).

Pendapatan segmen lain termasuk perniagaan penjagaan warga emas, Orange Valley, juga meningkat 2.6 peratus, mencapai $24.2 juta.

SPH aktif mencari peluang baru bagi meningkatkan aset dalam perniagaan itu di dalam dan luar negara.

Sementara itu, SPH menyatakan pendapatan pelaburannya susut 74.3 peratus, mencapai $3.2 juta selepas menjual sebahagian portfolio Kewangan dan Pelaburan semasa tahun kewangan lalu.

“Penjualan itu bertepatan kerana SPH dapat menikmati keuntungan dan mengelak kerugian bagi portfolio itu menyusuli ketidaktentuan pasaran kewangan lalu,’’ tambah kenyataan SPH.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.