Filem simbolik bongkar krisis T. Tengah

Berita Harian - - GAH! -

TAJUK filem The Insult mungkin membuatkan anda tertanya-tanya apa bentuk penghinaan yang menjadi tumpuan sehingga dua individu yang terlibat bertikam lidah di mahkamah pula.

Sekilas pandang, filem arahan pengarah Lebanon, Ziad Doueiri itu, ibarat drama mahkamah yang biasa ditonton di televisyen.

Namun, ia adalah satu simbolisme yang Ziad cuba gunakan bagi menggambarkan cebisan konflik di Timur Tengah dalam cara yang mudah dihadam penonton.

Filem ini menunjukkan betapa media begitu berminat melaporkan kisah Toni, lelaki Lebanon beragama Kristian yang naik angin apabila kontraktor Palestin, Yasser, menghampiri balkoni rumahnya.

Dia sangka Yasser, yang membaiki palung pengaliran air hujan di balkoninya mengganggu isterinya.

Bermulalah pertengkaran antara mereka dengan Yasser kemudian mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Toni malah menumbuknya sehingga laporan polis dibuat apabila Toni menyamannya.

Dalam sesi perbicaraan kelak, terbukalah sejarah mengapa Toni membenci orang Palestin. Dia terjejas dengan pembunuhan beramai-ramai Damour sewaktu Perang Sivil Lebanon sekitar tahun 1970-an.

Begitu juga dengan Yasser yang tidak dapat melupakan peristiwa hitam Black September di mana Jordan menentang Palestin.

Di sebalik kejujuran kata-kata dan kekasaran beberapa babak perang mulut yang dipaparkan, The Insult membuka lipatan sejarah beberapa perang dunia dan kesannya pada kemanusiaan.

Ada babak yang menyentuh perasaan tetapi ada juga yang terasa dilebih-lebihkan. Namun, ia antara segelintir filem yang cuba membawa penonton memahami krisis dunia dengan menggunakan contoh dua individu dan peristiwa pertelagahan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

The Insult ditayangkan pada 9.15 malam di Golden Village VivoCity, Isnin ini.

DRAMA MAHKAMAH: The Insult kaya dengan debat mulut dan isu yang sebenarnya menggambarkan kesan perang di Timur Tengah terhadap individu yang bertelagah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.