United damba terus menang

Berita Harian - - SUKAN -

NAMPAKNYA bulan madu Ole Gunnar Solksjaer masih berterusan. Apa tidaknya, dengan kemenangan pada perlawanan terakhir mereka menentang Newcastle, rekod Solksjaer adalah 100%.

Malah jika perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Reading baru-baru ini diambil kira, ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut buat The Baby Faced Assasin. Satu rekod pencapaian yang hanya dapat ditandingi oleh pengurus legenda, Sir Matt Busby pada musim 1946/47.

Namun tanpa memperkecilkan kebolehan Solksjaer – Cardiff, Huddersfield, Bornemouth dan Newcastle hanyalah setakat taraf pasukan pertengahan dan tercorot liga sahaja. Reading pula merupakan kelab Liga Championship – satu divisyen di bawah Liga Perdana England.

Kemampuan sebenar beliau hanya akan teruji apabila penentang pasukan besar seperti Spurs nanti.

Inilah masanya Solksjaer membuktikan kemampuan taktikalnya menentang Spurs, pasukan anak buah Mauricio Pochettino yang kini menduduki tangga ketiga di Stadium Wembley.

Sebagai satu insentif, jika United dapat mengejutkan Spurs di Wembley, United juga berpeluang menyamai mata dengan Arsenal, andai kata Gunners tewas mengejut kepada West Ham di Stadium London.

Sejauh masa kemampuan Solkjaer dalam perlawanan ini pastinya mendapat perhatian bukan sahaja peminat tegar United, tetapi juga Ed Woodward – ketua pegawai eksekutif (CEO) United dan juga keluarga Glazier, pemilik United dalam menimbangkan secara serius peluang Solksjaer bagi memimpin pasukan Man U secara tetap pada musim hadapan.

Dengan kebanyakan pemain utama United direhatkan dalam perlawanan FA baru-baru ini saya jangkakan kelibat David De Gea, Victor Lindelof, Luke Shaw dan Ashley Young akan disertakan semula dalam barisan pertahanan utama United.

Begitu juga dengan Paul Pogba, Nemanja Matic dan Ander Herrera di barisan tengah. Sementara trio tiga serangkai; Jesse Lingard, Anthony Martial dan Marcus Rashford melengkapi barisan serangan Man U dalam formasi 4-3-3.

Kunci kemenangan bagi United dalam perlawanan ini terletak pada jentera tengahnya.

Jika barisan tengah United mampu menyaingi Christian Eriksen, Delli Ali serta Moussa Sissoko atau Harry Winks, peluang United sangat cerah untuk mendapat keputusan yang positif, atau setidak-tidaknya mencuri satu mata dan tidak pulang dengan tangan kosong ke Old Trafford.

United juga memerlukan kelibat Lingard, Martial dan Rashford di samping Paul Pogba yang setakat ini sudahpun menjaringkan sepuluh gol liga di antara mereka dalam empat perlawanan liga terakhir untuk terus kekal cemerlang di hadapan pintu gawang Spurs.

Jika ini terus berlaku, dan barisan pertahanan United pula memainkan peranannya, maka satu keputusan mengejut tidak dapat ditolak.

Pada era Jose Mourinho, Marcus Rashford bukan sahaja sering dipinggirkan dalam banyak perlawanan utama, malah komitmen beliau juga sering dipersoalkan oleh Mourinho.

Hanya pada beberapa perlawanan terakhir Mourinho, Rashford menjadi pilihan berbanding Romelu Lukaku.

Namun kini semuanya sudah berubah. Rashford merupakan nama pertama dalam kesebelasan utama Solksjaer.

Malah dalam perlawanan Piala FA baru- baru ini beliau direhatkan di samping pemain utama Man U yang lain seperti David De Gea, Victor Lindelof, Paul Pogba, Jesse Lingard, Anthony Martial; satu petanda bahawa mereka bakal disertakan pada perlawanan liga menentang Spurs nanti.

Enam gol yang dijaringkan Rashford dalam liga setakat ini – tiga daripada gol tersebut diperolehi dalam empat perlawanan terakhir – sejak Solksjaer kembali ke pangkuan United.

Selain peranan utama mengemudi jentera serangan United, Rashford juga menggalas tugas bagi mengambil sepakan percuma pasukan United oleh Ole. Gandingan beliau bersama Lingard dan juga Martial juga semakin menunjukkan persefahaman.

Dengan Paul Pogba bermain di belakang mereka dan kini diberikan kebebasan lebih banyak membantu serangan United, Rashford mendapat kelebihan daripada sistem yang diperkenalkan Ole ini.

TUNGGAK UTAMA: Rashford kini merupakan nama pertama dalam kesebelasan utama Solksjaer. – Foto EPA-EFE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.