Kiriman media sosial ‘Chosen Wan’ cetus persoalan

Berita Harian - - SUKAN - FAKHRURADZI ISMAIL [email protected]

BUAT seketika, terdapat kemungkinan pertarungan antara jaguh tinju profesional Singapura, Muhamad Ridhwan Ahmad dan petinju Namibia, Paulus Ambunda akan dibatalkan.

Banyak persoalan timbul bagi pertarungan hangat itu yang dijadualkan berlangsung di sini pada 29 Mac ini.

Ini selepas petinju berusia 31 tahun itu memuat naik pos dalam akaun media sosialnya mengenai masalah komunikasi yang dihadapi dengan syarikat pengurusannya, Ringstar Management, awal pagi semalam.

Dalam pos tersebut, beliau telah menyatakan bahawa beliau “akan bersara”. Bagaimanapun, pos tersebut telah dipadamkan dan diturunkan pada sebelah petang.

Ketika dihubungi Berita Harian, Ridhwan atau lebih dikenali dengan gelaran ‘The Chosen Wan’ berkata:

“Mungkin tekanan menjelang pertarungan ini terlalu hebat dan kami semua begitu bersemangat dalam apa yang kami lakukan. Kami hanya inginkan yang terbaik, jadi mungkin itu, perselisihan berlaku.

“Walau apapun, pastinya saya tidak akan bersara sama sekali. Kami telah menyelesaikan isu ini dan akan membuat sidang media rasmi tentang pertarungan ini tidak lama lagi.

“Saya tahu saya dapat menewaskan beliau (Ambunda) kali ini. Jadi saya akan letakkan peristiwa lalu di belakang dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertarungan ini.”

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ringstar, Scott Farrell, pula berkata tiada perkara yang serius berlaku sambil menambah pertarungan antara kededua petinju itu masih akan diteruskan.

“Tentunya kami akan meneruskan pertarungan ini. Semestinya ia merupakan satu acara pertempuran yang hebat.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pertarungan ini pada Isnin nanti,” ujarnya.

Kededua petinju itu bakal berentap semula di gelanggang namun kali ini bagi merebut kategori ‘Silver’ kelas ‘feather’ Majlis Tinju Dunia (WBC).

Dalam pertemuan pertama mereka bagi merebut kejuaraan ‘super bantam’ Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) yang berlangsung di Marina Bay Sands September lalu, Ridhwan tewas melalui keputusan ‘split’ kepada Ambunda – satu-satunya kekalahan yang dialaminya dalam 12 pertarungan sejauh ini.

Pertarungan ulangan yang dilihat sebagai peluang baginya menebus kekecewaan itu, disifatkan sebagai pertarungan tinju terbesar bagi petinju Singapura itu.

Antara pemegang kejuaraan ‘Silver’ WBC sebelum ini termasuk bintang tinju Mexico, Saul ‘Canelo’ Alvarez, yang bertarung dalam kelas ‘super welter’.

Ridhwan telah menandatangani kontrak selama lima tahun pada Jun 2017 bersama syarikat pengurusan Ringstar Management yang dimiliki O’Farrell.

Di bawah perjanjian tersebut, syarikat tersebut bertanggungjawab menguruskan semua perlawanan Ridhwan dan juga menyediakan peluang untuk beliau berlatih di luar negara.

Sebelum itu, Ridhwan telah mengukir sejarah unik selepas digelar juara dunia pertama dari Singapura setelah beliau memenangi kejuaraan kelas ‘super feather’ Pertubuhan Tinju Universal (UBO) pada Mei 2017.

TERUS BERTARUNG: Pertarungan antara jaguh tinju profesional Singapura, Muhamad Ridhwan Ahmad dan petinju Namibia, Paulus Ambunda akan diteruskan pada 29 Mac ini. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.