Impian jadi realiti, Ikhsan Fandi sertai kelab Norway

Berita Harian - - MUKA DEPAN - FAKHRURADZI ISMAIL [email protected]

SEBAGAI pemain bola sepak muda negara, Ikhsan Fandi telah menetapkan impian dan cita-cita untuk menguji bakatnya di Eropah.

Semalam, impian penyerang skuad Singa berusia 19 tahun itu akhirnya menjadi kenyataan setelah beliau mengikat kontrak selama dua tahun dengan kelab bola sepak yang baru dinaikkan ke divisyen dua Norway, Raufoss IL.

Kelab tersebut mengesahkan perkara tersebut melalui laman rasmi mereka pagi semalam setelah tertarik dengan prestasi persembahan Ikhsan sewaktu beliau menjalani sesi percubaan selama seminggu.

Menerusi lamannya, kelab itu menyifatkan Ikhsan – anak kedua legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad – sebagai pemain yang berbakat besar dan menarik.

“Ikhsan sebelum ini pernah mewakili Singapura dalam pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur sejak berusia 15 tahun. Selain bahagian serangan, Ikhsan juga mampu bermain di bahagian tengah dan sayap dan merupakan seorang pemain yang kuat dan berbakat. Ini merupakan penyertaan yang amat menarik dan kami berharap dapat mengenali pemain Singapura ini dengan lebih baik lagi,” tambah kelab itu.

Ikhsan disertakan dalam perlawanan latihan Raufoss dengan pasukan Mjondalen IF yang bermain di liga utama Norway, Eliteserien, kelmarin, di mana mereka tewas 3-1. Beliau membuat kemunculannya sebagai pemain gantian dalam perlawanan tersebut pada minit ke-64.

Usaha dan semangat bintang muda Singapura itu selama beliau berada di sana sudah mencukupi bagi meyakinkan kelab tersebut untuk mendapatkan tandatangannya sejurus selepas perlawanan tersebut.

“Saya amat gembira dapat menyertai Raufoss dan saya mengalu-alukan peluang meningkatkan persembahan saya di sini dengan membantu mereka melakarkan peluang dan menjaringkan gol. Pemain di sini sungguh mesra dan kami mempunyai hubungan yang baik. Semua orang di sini bercakap dalam bahasa Inggeris, jadi perhubungan tidak menjadi masalah.

“Pasukan ini biasanya bermain dengan taktik sistem 4-3-3, yang bagus untuk saya kerana saya boleh bermain di mana-mana posisi di depan. Saya mahu memberi impak di sini dan saya perlu terus memperbaiki prestasi saya dalam setiap bidang.

“Buat masa ini, saya perlu meningkatkan kecergasan kerana permainan di sini sangat cepat dari pertahanan ke serangan dan jika saya bermain di sayap, saya juga dijangka membantu mempertahankan kedudukan pasukan dari depan,” katanya kepada akhbar The Straits Times menerusi temu bual telefon.

Ikhsan jadi pemain antarabangsa Singapura pertama sejak 30 tahun untuk menyarung jersi kelab Eropah, dan hanya pemain ketiga yang telah merantau ke benua itu selepas V. Sundram Moorthy (FC Basel, 1988-89) dan ayahnya Fandi (Groningen, 1983-1985 ).

Ketika dihubungi, Fandi yang bangga dengan pencapaian Ikhsan, berkata beliau berharap pengalaman bermain di Eropah dapat membantu meningkatkan persembahan dan kemahiran anaknya itu.

“Kerja kerasnya selama ini akhirnya membuahkan hasil dan kami sangat bangga dengannya. Ia bukanlah perkara yang mudah untuk bermain di Eropah. Ikhsan perlu menunjukkan beliau komited dan mempamerkan bakat sebenarnya agar dapat dipilih untuk beraksi dalam pasukan utama.

“Saya harap beliau dapat menumpukan perhatian sepenuhnya untuk belajar dan menimba pengalaman ini,” kata Fandi yang juga meluahkan harapannya agar anaknya itu dapat beraksi di liga yang lebih kuat dan tinggi suatu hari nanti.

Norway mempunyai beberapa kelab terkemuka seperti Rosenborg dan Molde. Bahkan Molde pernah menjadi kelab yang memupuk bakat pemain seperti, pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer.

Perpindahan Ikhsan ke Raufoss turut mendapat sokongan pengamat dan peminat bola sepak setempat.

Bekas jurulatih Home United dan Hougang United, Philippe Aw, yang berkata:

“Ia merupakan satu langkah yang baik kerana beliau akan menerima lebih banyak pendedahan di tahap yang lebih tinggi berbanding dengan apa yang ada di sini. Beliau masih muda, jadi jika beliau dapat menunjukkan persembahan yang mantap, saya pasti beliau mempunyai peluang beraksi di liga yang lebih mencabar.”

KONTRAK DUA TAHUN: Ikhsan Fandi mengikat kontrak selama dua tahun dengan kelab bola sepak divisyen dua Norway, Raufoss IL. – Foto MARIUS MYKLESET

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.