GPC mahu butiran bil yang tidak dilunas sepenuhnya oleh MediShield Hayat

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

JAWATANKUASA Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kesihatan ingin tahu mengapa dua dalam setiap 10 pesakit bersubsidi tidak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada MediShield Hayat.

Pengerusinya, Dr Chia Shi Lu, berkata GPC telah meminta Kementerian Kesihatan (MOH) bagi butiran terperinci pesakit bersubsidi di mana bil mereka tidak mendapat perlindungan insurans sepenuhnya.

Semasa insurans kesihatan nasional wajib MediShield Hayat dilancarkan pada 2015, ia direka bagi melindungi sepenuhnya bil-bil besar bagi sembilan daripada 10 pesakit bersubsidi.

Selain daripada ‘deductible’ – jumlah yang perlu dibayar seorang pesakit setiap tahun sebelum insurans berkuat kuasa – dan bayaran bersama antara 3 dengan 10 peratus baki bil, Dr Chia bertanya:

“Adakah ini bermakna dua daripada 10 orang perlu keluarkan wang dari poket sendiri?”

Beliau memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa sekiranya had tuntutan melebihi daripada 10 peratus pesakit – seperti yang berlaku kini – maka kriteria tuntutan perlu disemak semula.

Beliau memberitahu bahawa semasa perdebatan Parlimen sebelum pelancaran MediShield Hayat, MOH telah menyatakan bahawa had tuntutan berdasarkan data daripada sedekad lalu.

“Ini mungkin tidak mencerminkan keperluan dan kos yang tepat pada hari ini,” tambah Dr Chia.

Soalan sekiranya perlindungan MediShield Hayat mencukupi juga telah dibentangkan bagi persidangan Parlimen hari ini, katanya.

Awal minggu lalu, sepucuk surat daripada MOH mendedahkan bahawa bilangan pesakit bersubsidi dengan bil-bil tinggi yang tidak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada Medishield Hayat telah bertambah seganda sepanjang tiga tahun lalu, dan kini dianggarkan dua daripada 10 pesakit.

Dalam surat itu Pengarah Perhubungan Korporat MOH, Cik Lim Siok Peng, berkata:

“Lapan daripada 10 bil bersubsidi berada dalam linkungan had tuntutan MediShield Hayat dan sembilan daripada 10 dalam lingkungan had tuntutan $230.”

Had tuntutan ditetapkan pihak kementerian bagi lebih 2,500 prosedur dan ia menetapkan jumlah daripada MediShield Hayat dan Medisave yang boleh digunakan untuk rawatan.

Jumlah lebih tinggi boleh digunakan dalam Medisave, berbanding dilindungi MediShield Hayat.

Cik Lim menambah bahawa bersama Medisave, lapan daripada 10 pesakit memerlukan bayaran tunai $100 atau kurang bagi bil-bil bersubsidi.

Akhbar The Straits Times pernah melaporkan nasib Encik Seow Ban Yam, 83 tahun, dengan pihak insurans hanya membayar $4.50 daripada bil bersubsidinya berjumlah $4,477.

Perlindungan yang rendah itu diakibatkan bil Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) yang melebihi had tuntutan sehingga lebih daripada 50 peratus.

BANTU PESAKIT: Apabila insurans kesihatan nasional MediShield Hayat dilancarkan pada 2015, ia dibentuk bagi melunasi sepenuhnya bil-bil besar sembilan daripada 10 pesakit bersubsidi. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.