Panel: SME boleh raih manfaat FTA dengan buat bidaan bersama

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

WALAUPUN Singapura telah menandatangani beberapa perjanjian dagangan bebas (FTA), syarikat kecil dan sederhana (SME) masih menghadapi kesukaran memanfaatkan dari perjanjian itu.

Bagi membantu mereka, syarikat boleh bekerjasama dengan syarikat lebih besar seperti syarikat berbilang negara (MNC) bagi membuat bidaan bersama, menurut satu sesi Pra-Belanjawan diadakan oleh Institut Akauntan Bertauliah Singapura.

Ini membolehkan mereka menembusi pasaran baru, kata mereka.

“Banyak FTA dan kontrak pemerintah peringkat tinggi jarang dimanfaatkan SME dan mereka kekal dimanfaatkan mungkin tahap syarikat berkaitan pemerintah,’’ kata Encik Ang Yuit, timbalan presiden anggota dan latihan di Persatuan SME (Asme), yang ditukil The Straits Times(ST).

“Lebih banyak yang boleh dilakukan agar syarikat besar ini mengambil langkah kepimpinan untuk menghidu peluang bersama,’’ tambahnya.

Encik Ang merupakan antara 15 ahli panel yang bercakap dalam acara anjuran institut itu kelmarin.

Selain menyokong SME, pemimpin industri di Hotel Intercontinental Singapore mengongsi keprihatinan mereka mengenai ketegangan dagangan antara Amerika Syarikat dengan China.

Mereka juga membincangkan keperluan menyejagat dan bercakap mengenai cabaran dalam memahami Perancangan Perubahan Industri (ITM), yang bertujuan membantu pelbagai sektor mempersiap bagi masa hadapan.

Perbincangan itu diadakan menjelang Belanjawan tahun ini yang akan dibentangkan pada 18 Februari oleh Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat.

Encik Liang Eng Hwa, pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan) dan Encik Kon Yin Tong, presiden Institut Akauntan Bertauliah Singapura mempengerusikan bersama sesi Pra-Belanjawan itu.

Encik Liang berkata jawatankuasanya dijangka bertemu pegawai pemerintah lewat bulan ini dan maklum balas perniagaan telah disampaikan kepada mereka.

Beliau menambah wakil industri juga harus berusaha dalam langkah rombakan industri bagi memberikan hasil lebih baik.

Meskipun peranan persatuan dagangan dan dewan perniagaan ialah untuk menarik syarikat terutama SME dalam melaksanakan ITM, beliau menambah pemimpin persatuan juga menghadapi hambatan.

Setiausaha Agung Persekutuan Perkilangan Singapura, Dr Ahmad Magad, berkata ITN perlu lebih jelas dan terperinci agar membolehkan SME memahaminya.

Beliau menambah firma ini kekurangan maklumat mengenai cara mereka dapat memanfaatkan FTA itu.

Ditanya oleh Encik Kon mengapa firma lebih kecil belum bersedia bekerjasama dengan syarikat besar untuk ‘menghidu’ peluang bersama, Dr Ahmad Magad menyatakan SME mungkin tidak mempunyai lebihan tenaga buruh bagi menguruskan kerjasama itu atau mungkin lebih gemar berselindung mengenai kegiatan perniagaan mereka.

Bagi menggalakkan kerjasama itu, seorang anggota lembaga pengarah Institut Karyawan Cukai Bertauliah Singapura, Profesor Sum Yee Loong, menyarankan agar syarikat besar diberi insentif seperti potongan cukai lebih besar bagi membangunkan perniagaan mereka bersama firma lebih kecil.

Encik Tay Hong Beng, ketua cukai KPMG Singapore, menyarankan agar syarikat menumpukan untuk bekerjasama dengan firma lain yang ‘saling melengkapi’ bagi berinovasi, daripada pesaing mereka.

BINCANG CARA PERTINGKAT NIAGA: Sesi perbincangan Pra-Belanjawan yang dianjurkan Institut Akauntan Bertauliah Singapura di Hotel Intercontinental Singapore baru-baru ini dipengerusikan bersama oleh Encik Kon Yin Tong (kanan) dan Encik Liang Eng Hwa (kiri). – Foto BH oleh KUA CHEE SIONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.