Kumpulan wanita gesa struktur kerja lebih fleksibel bagi wanita

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

LEBIH fleksibel dalam struktur kerja merupakan tema utama satu dialog antara kumpulan wanita dengan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kehormat Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan presiden Unit Wanita dan Keluarga NTUC, Cik K. Thanaletchimi, berkata pemerintah patut mendidik dan menggalak majikan, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME), agar wanita tidak perlu “mengundur diri” daripada tempat kerja apabila mereka perlu menjaga keluarga.

Dialog selama dua jam di ibu pejabat SCWO di Waterloo Street itu dianjurkan bagi pemimpin wanita dan kumpulan wanita untuk berbincang bersama pemerintah.

Presiden SCWO, Dr June Goh, menyarankan agar majikan dapat mengubah cuti jagaan anak kepada cuti tambahan jagaan ibu bapa, terutamanya bagi wanita lebih tua yang mempunyai anak yang sudah besar.

Pengarah eksekutif Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware), Cik Corinna Lim, berkata menjaga warga senja merupakan kebimbangan yang kian bertambah.

Menurutnya:

“Wanita yang mempunyai ibu bapa yang tua sering mendapati mereka terpaksa tinggalkan pekerjaan dan menampung kos menjaga ibu bapa menerusi poket mereka sendiri... kami tidak mahu melihat wanita ini menua dalam kesusahan.”

Cik Indranee bersetuju bahwa aturan fleksibel lebih mendatangkan faedah bukan sahaja bagi wanita yang bekerja, malah majikan mereka. Beliau berkata:

“Kita patut menggalak majikan agar lebih mesra keluarga, sedang mereka imbangi kebimbangan tentang daya penghasilan.

“Tapi bila majikan mampu fleksibel, maka pekerja biasanya lebih bersedia menyumbang semula.”

Pengarah Eksekutif kumpulan amal wanita, Daughters of Tomorrow, Cik Carrie Tan, menekankan bahawa wanita yang bekerja tanpa masa yang tetap menghadapi kesukaran mengambil dan menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak.

Beliau berkata kumpulan amal itu telah memulakan program menjaga anak rakan, di mana kaum Hawa bekerjasama bagi menjaga anak satu sama lain apabila perlu.

Cik Tan menyarankan agar pemerintah boleh meluaskan subsidi jagaan kanak-kanak yang serupa dengan program menjaga anak di rumah atau membayar wanita yang menyediakan jagaan tidak formal.

Topik lain semasa dialog itu termasuk premium lebih tinggi yang dibiayai wanita berbanding lelaki bagi pelan insurans CareShield Hayat, dan kurangnya saluran sah bagi wanita yang berhasrat membekukan telur mereka di Singapura.

DENGAR PANDANGAN: Cik Indranee (kanan) akur aturan fleksibel di tempat kerja boleh memanfaatkan bukan saja wanita yang bekerja, malah majikan juga. – Foto SCWO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.