Latih anak mendaki gunung

Berita Harian - - GAH! - ZAIDI YACOB

AKTIVITI lasak memang seronok kepada mereka yang meminatinya.

Apatah lagi kalau kegiatan itu diharungi bersama kawan atau anggota keluarga yang saling menyukainya.

Sejak berusia 13 tahun, saya sudah menggemari kegiatan lasak seperti mengembara, perkhemahan dan mendaki gunung.

Apabila menjadi seorang bapa, saya mengasuh anak-anak untuk berjinak-jinak dengan kegiatan lasak juga.

Semenjak menjadi bapa sekitar 20 tahun lalu, saya memendam hasrat mendaki gunung, meneroka hutan dan arung jeram, sebagai antara kegiatan yang ingin saya lakukan bersama anak-anak.

Kini saya telah dapat melakukan semua kegiatan itu bersama mereka.

GUNUNG LEDANG, JOHOR Ketinggian: 1,276 meter

Sejauh ini, saya telah mendaki tiga gunung dengan anak sulung saya.

Kesemua pendakian dilakukan di Malaysia.Pendakian pertama pada 2007 di Gunung Ledang.

Pada waktu itu anak sulung saya, Aidan Bakti berusia sembilan tahun dan anak kedua, Jasa Wira berusia enam tahun.

Kami ke sana sekeluarga.

Tujuan utama adalah untuk berkhemah dan mendaki setinggi yang termampu.

Pada hari pertama, kami mendaki selama empat jam hingga ke tapak perkhemahan dan membuat keputusan bermalam di situ.

Pada hari kedua, memandangkan anak-anak agak penat, kami membuat keputusan untuk turun tanpa mendaki lagi.

Apa yang penting mereka cukup lasak walaupun berusia bawah 10 tahun.

GUNUNG MAT CINCANG, LANGKAWI Ketinggian: 850 meter

Pada 2012, kami sekeluarga telah bercuti ke Langkawi.

Anak sulung saya pada waktu itu berusia 14 tahun.

Setelah berbincang, kami bersetuju mendaki Gunung Mat Cincang, gunung kedua tertinggi di Langkawi.

Pendakiannya tidak begitu susah tetapi terdapat banyak curam yang memerlukan pendaki memanjat dengan turut menggunakan tangan.

Ia berbeza dengan Gunung Ledang di mana pendakiannya lebih berunsur mengembara.

Kami mengambil masa tujuh jam untuk mendaki dan turun dari Gunung itu.

GUNUNG KINABALU, SABAH Ketinggian: 4,095 meter

Pada March 2017, ketika anak sulung sedang menanti pendaftaran bagi menjalani perkidmatan negara (NS), kami telah mendaki Gunung Kinabalu.

Beliau yang sudah berusia 19 tahun, sudah bersedia mendaki gunung lebih tinggi dan mencabar. Ia tidak membuat saya risau.

Bersama seorang lagi rakan, kami bertiga mendaki Gunung Kinabalu dengan agak mudah.

Kami juga bernasib baik sebab cuaca yang baik menemani kami sepanjang perjalananan – pendakian dan semasa turun – dari gunung selama tiga hari itu.

Sebagai seorang yang gemar kegiatan lasak, saya sedar bahawa saya akan terus lakukan aktiviti begini walaupun meningkat usia.

Persiapan untuk akitiviti ini mengambil banyak masa dari aspek latihan jasmani, perancangan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, sebagai seorang ayah, saya akur saya perlu meluangkan seberapa banyak masa dengan anak-anak.

Jadi saya dedahkan mereka kepada pelbagai kegiatan lasak, yang merupakan minat saya.

Pendakian gunung memerlukan kami banyak memperuntukkan masa untuk berlatih.

Setiap pendakian, perkhemahan dan ekspedisi, saya membuat anak-anak saya sebagai anggota sepasukan dan mereka boleh memberikan pendapat serta maklum balas bagi menjayakan aktiviti itu secara bersama.

Dengan cara itu saya dapat membimbing mereka dari aspek jasmani, kekuatan azam dan perancangan ekspedisi.

ERATKAN HUBUNGAN: Penulis (belakang kiri) bersama isterinya, Cik Raihan Ismail, serta dua anak mereka, Jasa Wira (depan, kiri) dan Aidan Bakti (depan, kanan) sempat bergambar semasa mendaki Gunung Ledang secara bersamaa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.